AdSense

Saturday, November 7, 2015

Bas Utara di Pudu Sentral pindah ke TBS : Sukar beralih selesa


Menerima pakai atau menggunakan sesuatu yang baharu adalah kesukaran lazim bagi setiap manusia.

Umpama pengguna komputer riba atau 'Notebook' jenis Acer kepada MacBook daripada Apple.


Acer pernah menduduki tiga tangga teratas pilihan dunia namun, lain-lain pesaing termasuk Macbook mula menggugat kedudukannya mengikut peredaran semasa.

Pengguna Acer merasakan kekok apabila hendak menggunakan MacBook. Kualiti MacBook pula dilihat lebih hebat berbanding Acer dengan ciri-ciri perisiannya. Lama-kelamaan, penggemar barangan elektronik ini mula meninggalkan Acer dan membuat keputusan memilih MacBook.

Ini sekadar contoh sahaja, perbandingan mengenai dua perkara - 1 hebat, 1 lagi lebih hebat. Jika tidak bersetuju dengan perbandingan dua syarikat ini, boleh saja tukar kepada Myspace dengan Facebook. Atau apa-apa perumpamaan yang merujuk kepada hebat dengan yang lebih hebat - mengikut peredaran semasa.


Begitu jugalah apa yang berlaku antara stesen Pudu Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Ramai yang pada mulanya merungut tentang perpindahan stesen koridor utara tersebut.

Kini, genap seminggu lokasi TBS ini digunakan sebagai stesen utama untuk perkhidmatan bas ekspres sebelah utara - Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Sementara itu, untuk makluman pembaca, Pudu Sentral pula tetap diteruskan operasinya dengan memberi perkhidmatan untuk bas jarak dekat. Pudu Sentral juga dijadikan terminal henti-henti untuk perjalanan ke Tanjung Malim, KLIA 1, KLIA 2 dan Seremban.


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini mengumumkan bahawa kesemua perkhidmatan bas ekspres laluan utara yang beroperasi di Pudu Sentral mula berpindah ke TBS berkuatkuasa 1 November 2015. Pengumuman ini sekaligus merungkai segala permasalahan-permasalahan yang sering timbul di lokasi lama.

Nah! Kini pengguna bas ekspres sebelah utara tidak lagi perlu berdepan dengan kesesakan lalulintas yang agak kritikal di sekitar Pudu Sentral.

Selain daripada itu kebanyakkan pemandu-pemandu atau pihak konsesi bas ekspress ini juga pasti menarik nafas lega apabila tidak lagi perlu membawa masuk bas mereka ke kawasan pusat bandar. Ini juga antara faktor kepada kesesakan lalulintas di pusat bandar terutamanya pada waktu puncak. Jika sebelum ini bas perlu beratur panjang sebelum dapat memasuki perkarangan Pudu Sentral, tetapi kini tidak lagi apabila TBS menyediakan ruang yang lebih luas.


Kebanjiran bilangan bas dalam kawasan pusat bandar terutamanya, perlu dikurangkan atau diseimbangkan pada angka yang bersesuaian. Daripada 635 buah bas yang beroperasi di Pudu Sentral, sebanyak 545 daripadanya telah berpindah ke TBS.

Justeru itu, kita sebagai pengguna sewajarnya memandang pembaharuan ini secara positif. Lagipun, pemindahan stesen bas ini melibatkan penelitian ramai pihak termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), UDA dan pengendali bas itu sendiri.

Apa yang lebih menarik, keadaan di TBS disifatkan lebih baik dan selesa berbanding Pudu Sentral. Terminal yang terletak di Bandar Tasik Selatan ini mampu menampung operasi bas ekspres laluan ke utara secara cekap dan teratur. Ia mendapat respon baik oleh sebilangan besar pengguna tetap perkhidmatan bas ekspres berkenaan.


Memiliki ruang menunggu yang lebih selesa dan menyediakan tempat menurunkan penumpang yang lebih tersusun. Manakala tahap keselamatan pula adalah lebih baik berikutan wujudnya Kamera Litar Tertutup (CCTV) serta kawalan keselamatan oleh Pasukan Polis Bantuan.

TBS juga merupakan kawasan yang bebas daripada aktiviti-aktiviti ulat tiket apabila Sistem Tiket Berpusat (CTS) disediakan.

Oleh yang demikian, sekali lagi buat perhatian pengguna yang ingin ke utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), operasi bas ekspres adalah di TBS ya, bukan di Pudu Sentral lagi. 

1 comment:

  1. Satu tindakan dan keputusan yang amat baik. Tetapi tempat letak kenderaan sangat sesak dan perlu ditangani.

    ReplyDelete