AdSense

Tuesday, August 30, 2016

#Merdeka59 : Presiden MCA ajak rakyat imbau perjalanan negara


Jika ditanya pada masyarakat hari ini terutama sekali golongan muda atau Gen Y, apakah pengertian Hari Kemerdekaan?

Pasti terdapat pelbagai versi jawapan. Namun apa yang paling penting, Gen Y khususnya perlu sedar bahawa kemerdekaan negara Malaysia wajib dipertahankan sampai bila-bila.

Ini kerana, hendak mencapai kemerdekaan di bumi bertuah Malaysia ini bukanlah mudah. Ia bersandarkan kepada semangat solidariti dan pelbagai bangsa dan budaya.


Kata, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, perpaduan antara rakyat pemacu kejayaan negara. Disamping itu, kesungguhan dan kecekalan para pejuang negara turut menjadi asas kepada kejayaan yang dikecapi hari ini.


Tepat sekali, sememangnya ia menjadi garis panduan dalam setiap cabaran yang ditempuhi kita sebagai warganegara.

Setiap daripada kita sepatutnya bercita-cita tinggi untuk mengharumkan nama negara dengan cara masing-masing. Bukannya memburukkan negara sendiri.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan dalam kenyataan medianya hari ini mengajak rakyat untuk mengimbau perjalanan sejarah negara sempena sambutan Hari Kemerdekan kali ke 59.

Mengambil contoh kejayaan para atlit kita membawa pulang pingat dalam temasya sukan Olimpik Rio, Liow menyifatkan ia sebagai cermin kepada pengertian sebenar tema Hari Kemerdekaan iaitu, #SehatiSejiwa

"Cita-cita dan azam ini jelas ditonjolkan oleh para atlet Olimpik negara pada awal bulan ini. Mereka telah menjulang nama negara di peringkat sukan antarabangsa berbekalkan kegigihan dan semangat kesukanan yang tinggi.

"Di tanah air pula, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati, menyokong dan bersorak untuk atlet-atlet kita yang berjuang. Ini benar-benar mencerminkan tema Hari Merdeka bagi tahun ini, Sehati Sejiwa malah membuktikan semangat patriotisme yang wujud pada setiap rakyat Malaysia."

Dalam masa sama kata Liow, kejayaan setiap individu merupakan kejayaan bersama. Itulah tonggak kejayaan tanah air apabila setiap individu mampu menyumbang dengan cara tersendiri, demi kejayaan Malaysia secara kolektif.

"Dalam kita mengejar impian negara, mari kita bersama-sama menghayati semangat Kemerdekaan sambil kita meraikan hari yang amat bermakna ini. Kesederhanaan, toleransi dan bertolak ansur adalah asas Rakyat Malaysia dahulu, kini dan selamanya.

"Selamat Hari Merdeka dan selamat beristirehat bersama keluarga. Bagi pengguna jalan raya, ingatlah mereka yang tersayang dan sentiasa berhati-hati di jalan raya."

No comments:

Post a Comment