Suara Lensa mungkin tidak berkesempatan mengikuti secara dekat pengasas dan insan yang membangunkan FELDA, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, namun Suara Lensa masih dikelilingi oleh masyarakat warga emas yang tidak pernah jemu menceritakan setiap peristiwa yang berlaku semasa FELDA hendak dibangunkan.
Kisah-kisah perit yang dilalui peneroka terdahulu bersama-sama allahyarham Tun Abdul Razak dijadikan pembakar semangat buat generasi baharu FELDA hari ini.
Soal mendekati masyarakat peneroka ini sebenarnya sudah diamalkan sejak dahulu lagi. Namun ia mungkin sedikit berbeza dengan suasana hari ini. Dahulu mereka lebih tertumpu kepada soal pembangunan FELDA dan penerokaan tanah bagi tujuan membuka tanah rancangan.
Kini, perjuangan dan keperluan generasi baharu FELDA tidak sama dengan generasi awalnya. Mereka tidak lagi perlu bersusah payah membanting tulang empat kerat menebas hutan untuk mendirikan perkampungan. Keperluan generasi baharu FELDA berubah mengikut peredaran semasa.
Antara topik yang paling hangat dibualkan generasi muda ini ialah berkaitan kelahiran usahawan berjaya dikalangan anak peneroka termasuk pembangunan modal insan.
Sabtu baru-baru ini, 16 April 2016 telah berlangsungnya program jelajah Gempak Keluarga Felda (GKF) di Padang Awam Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi dengan jayanya.
GKF yang sudah menjelajah ke 8 lokasi di seluruh negara sebelum ini dirasmikan oleh Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Hadir sama Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holding Berhad Dato’ Zakaria Arshad dan Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.
Ternyata, GKF memberi manfaat berguna kepada para pengunjung terutama sekali membabitkan masyarakat peneroka dan golongan belia.
Bukan sahaja persembahan hiburan semata-mata, namun GKF turut diisi dengan program-program berbentuk ilmiah seperti ceramah agama.
Selain itu, ia juga membuka peluang kepada anak syarikat FELDA mempromosikan dan mengadakan jualan produk pasaran FELDA secara langsung kepada pengguna.
Namun apa yang paling menarik bagi Suara Lensa ialah mengenai pembukaan Kaunter Penerangan Jabatan sepanjang berlangsungnya GKF ini.
Ia sekaligus memudahkan peneroka dan pengunjung membuat pertanyaan dan berkongsi permasalahan terus kepada pegawai yang berkaitan.
Kaunter ini yang merupakan inisiatif FELDA melalui Jabatan Pembangunan Komuniti, mengharapkan segala permasalahan peneroka dapat diselesaikan dan disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Sedikit fakta mengenai FELDA :
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Malaysia (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.
Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakanprojek-projek pembangunan tanah dan memudahkan dan melaksanakan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.
Pada tahun 1990, FELDA tidak lagi membuat pengambilan peneroka baru. Kerajaan telah memberi kepercayaan kepada FELDA untuk berdiri dengan kewangan sendiri dan menjadi sebuah badan berkanun yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk menyokong pelbagai perkembangan melalui pelbagai perniagaannya.
Sejak itu, FELDA telah melancarkan beberapa entiti korporat swasta terutamanya untuk memastikan rantaian nilai yang lengkap aktiviti teras dan yang berkaitan. Antara yang terbesar adalah Koperasi Permodalan FELDA (KPF), FELDA Global Ventures (FGV) dan FELDA Investment Corporation (FIC).
Hari ini, FELDA akan terus menjalankan peranan utama dengan menyediakan kemudahan yang mencukupi dan moden di rancangan FELDA, memastikan generasi peneroka seterusnya berpendidikan tinggi untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka dan memastikan rancangan FELDA dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi di samping merapatkan jurang antara bandar dan kawasan bandar kecil.
FELDA mensasarkan untuk menjadi ‘Economic Powehouse’ dalam menjana pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun 2020 dengan program 'berstrukturnya dan masyarakat besar yang mempunyai pelbagai potensi.
No comments:
Post a Comment