Ada ke pekerja-pekerja tempatan terutamanya golongan belia yang berani menyahut cabaran menjadi pekerja di sektor 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) - kerja-kerja yang kotor, sukar dan berbahaya?
Jika ada, kenapa industri-industri masih tidak menerima 'resume' daripada mereka? Atau mereka memilih sangat barangkali... hendakkan gaji setaraf Ketua Pengarah?
Kurangnya penyertaan pekerja tempatan di dalam sektor 3D adalah kerana mereka terlalu 'manja' dan tidak mampu menggalas tugas berat? Atau faktor gaji murah menjadi isu pokok?
Erti kata lain, syarikat-syarikat atau kilang-kilang besar hanya berminat menggajikan pekerja asing kerana enggan mengeluarkan belanja tinggi untuk kos operasi - gaji pekerja.
Demikian antara persoalan-persoalan yang bermain difikiran ramai pihak ketika ini terutama sekali membabitkan mereka di dalam industri. Kebanyakkan syarikat tengah pening kepala memikirkan bagaimana mahu meneruskan operasi syarikat mereka tanpa pekerja?
Jika mahu berdebat tentang gaji yang ditawarkan industri, pihak berkuasa pastinya sudah ada jalan penyelesaiannya dengan menetapkan gaji minima.
Bertebaran pekerja asing masih bernafas di bumi Malaysia sekalipun dikatakan bergaji rendah. Sebab apa, sebab mereka tidak hanya tertumpu pada satu kerja semata-mata. Tempoh masa 24 jam yang ada dibahagikan dengan sebaik mungkin.
Bukanlah penulis hendak mengagung tinggi sangat tahap kekuatan fizikal dan mental para pekerja asing ini. Namun ia merupakan situasi yang berlaku pada hari ini. 8 pagi sampai 5 petang bekerja sebagai buruh binaan. 7 malam sampai 12 tengah malam bekerja sebagai pencuci di 'car wash'. Bukanlah perkara asing bagi pekerja asing.
Benar, Malaysia - Bangladesh memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat bagi tempoh tiga tahun. Namun pada pertengahan Februari lalu kerajaan membuat keputusan menangguhkan sementara kemasukan pekerja asing ke dalam negara termasuk membabitkan pekerja dari Bangladesh.
Oleh yang demikian, sepertimana tajuk diatas, siapakah yang sebenarnya bakal mengisi kekosongan pekerjaan di sektor 3D?
Belum dapat menjawab persoalan itu, timbul pula rintihan para petani dan peladang yang mengadu tentang kekurangan tenaga kerja. Sementara permit 5 tahun bagi pekerja mahir di bawah program pengampunan 6P bakal tamat dan para pekerja akan dihantar pulang ke negara asal mereka menjelang Jun ini.
Perkara itu dibangkit oleh pengusaha ladang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Wee Ka Siong. Kata mereka, tenaga kerja berkurangan sehingga 30%.
Wee Ka Siong yang juga merupakan Timbalan Presiden MCA dalam pada itu berharap agar permasalahan membabitkan pekerja asing mendapat pertimbangan daripada kerajaan sekaligus berupaya menangani isu kekurangan tenaga kerja.
Suara Lensa : Hendak mengharap pada penyertaan pekerja tempatan sampai bila? Sampai buah menjadi busuk diladang baru hendak dijual atau dieksport?
No comments:
Post a Comment