Johor menandakan pertumbuhan ekonomi kukuh sepanjang 4 tahun ini
Pencapaian negeri Johor sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tahun lepas, iaitu sebanyak RM110 bilion adalah bukti hasil usaha konsisten kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) Johor dalam merangkakan dasar dan rangka kerja pembangunan ekonomi yang stabil, serta sokongan oleh kerajaan pusat dan kerjasama sektor swasta sepanjang 4 tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Johor, YB Lee Ting Han dalam catatan Facebook rasminya turut menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang 4 tahun sejak pelantikannya, serta merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi serta seluruh kepimpinan negeri, penjawat awam, rakan industri dan masyarakat atas sokongan mereka semua.
Selain itu, kejayaan Johor pada tahun lepas menyusuli pencapaian Johor dalam mencatatkan pertumbuhan kadar KDNK yang terpantas di Malaysia, iaitu sebayak 6.4%, susulan usaha berterusan Ting Han bersama kepimpinan negeri dalam memastikan setiap dasar dan perancangan dilaksanakan dengan berkesan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kejayaan ini bukan sekadar mengejar angka pelaburan sahaja, tetapi kerajaan negeri juga memastikan hasil pembangunan ini benar-benar dirasai rakyat.
“Setiap pelaburan yang masuk bermaksud peluang pekerjaan baharu, peluang peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan, dan peluang kepada usahawan serta PKS tempatan untuk turut berkembang bersama,” kata Ting Han.
Untuk masa depan, Ting Han memberi jaminan untuk mengekalkan momentum tersebut bagi tahun ini dan tahun-tahun seterusnya seiring dengan agenda Maju Johor 2023 yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, inklusif, mampan dan memanfaatkan seluruh Bangsa Johor.
“Empat tahun ini adalah satu permulaan. Kita telah bekerja keras, dan kini kita mula melihat hasilnya. Namun yang lebih penting, kita akan terus bekerja lebih kuat untuk memastikan momentum ini berterusan, agar Johor terus melangkah maju sebagai negeri yang berdaya saing, berdaya tahan dan penuh peluang untuk generasi masa depan,” kata Ting Han.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berhasrat meningkatkan momentum pertumbuhan pelaburan kepada RM140 bilion untuk tahin ini, susulan kejayaan perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai pada Januari 2025.

No comments:
Post a Comment