Suatu ketika dahulu anak-anak kecil berkumpul sesama mereka bermain permainan tradisional atau ala-kampung seperti gasing, galah panjang, sorok-sorok (hide and seek), pondok-pondok dan lain-lain. Sementara kumpulan remaja pula lebih suka menggunakan perkataan 'hang-out' atau aktiviti santai bersama rakan-rakan.
Hari ini, mereka jarang sekali berkumpul dan tidak lagi berminat dengan permainan-permainan tersebut - dilihat ketinggalan zaman barangkali. Permainan pada aplikasi telefon pintar berjaya menarik minat mereka untuk tidak keluar rumah.
(Sesetengah ibu bapa merasakan kehidupan anak di dalam rumah adalah lebih selamat).
Permainan berunsur peperangan, pergaduhan dan keganasan. Belum lagi termasuk dengan siaran aneka rancangan di You Tube. Apakah minda mereka berada dalam keadaan baik?
Bagi kumpulan remaja pula, mereka lebih gemar bergelak ketawa seorang diri mengadap telefon pintar masing-masing - atau setidak-tidaknya tersenyum sendirian. Begitu asyik dan leka dalam dunia media sosialnya.
Inilah realiti pada hari ini apabila berlakunya peredaran zaman. Masyarakat hanya membincangkan soal perkembangan dunia tanpa sempadan.
Ramai yang sedia maklum akan kewujudan ancaman ini namun seolah-olah tidak mengambil berat dan hanya bersikap sambil lewa. Membiarkan anak-anak dan ahli keluarga terdedah dengan alam maya dalam dunia tanpa sempadan.
Maklumat yang sampai kepada kita pada hari ini lebih pantas daripada media arus perdana. Sehingga menyukarkan kita untuk memastikan sama ada ia maklumat sahih atau palsu.
Selain itu, kumpulan yang terlibat di dalam kegiatan jenayah siber ini juga tidak kurang hebatnya. Sehingga berupaya 'merampas' laman-laman web rasmi kerajaan dimana kita gelarkan mereka sebagai 'penggodam' (hackers).
Begitu juga kes-kes melibatkan penipuan kewangan, pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah juga menggunakan alam siber dalam kegiatan mereka.
Terbaharu, kumpulan militan IS juga menggunakan platform sama untuk merekrut anggota baru mereka! Inilah yang dimaksudkan dengan dunia tanpa sempadan.
Untuk makluman pembaca, selain Hong Kong, Taiwan, Thailand, China, India dan Indonesia, Malaysia juga tersenarai sebagai negara yang mudah diserang jenayah siber apabila menduduki tangga ke 6 berdasarkan laporan Ancaman Keselamatan Sophos bagi tahun 2014.
Apakah kita akan terus membiarkan rekod ini atau lebih menakutkan, kedudukan tangga ke 6 bertukar kepada yang paling atas?
Sudah pasti jawapannya, tidak.
Sebab itu Yayasan Mesra memandang serius perkara tersebut apabila mengambil pendekatan dengan memberi kesedaran di dalam 'Program Jenayah Siber : Ancaman dan Kesan kepada Masyarakat' khas buat warga pendidik di Kota Tinggi, Johor.
Program anjuran Yayasan Mesra di mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, PIBK Parlimen Kota Tinggi dan Biro Pendidikan Kota Tinggi. Ia juga merupakan program lanjutan selepas inisiatif sama diadakan untuk para pelajar pada 30 April yang lalu.
Langkah Yayasan Mesra ini diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk warga pendidik bahawa betapa bahayanya kegiatan jenayah siber ini. Ia wajar dibendung sebelum menular dan menjadi lebih parah lagi terutamanya melibatkan anak-anak dan para pelajar kita.
No comments:
Post a Comment