AdSense

Friday, January 26, 2018

'Orang Kampung'' juga terima manfaat SPAD


Bukan lagi angan-angan, bukan lagi sembang kosong tapi ia sudah menjadi satu realiti, satu kenyataan.

Apa yang penulis maksudkan ialah mengenai pengangkutan awam di negara kita, Malaysia.

Ingat lagi tak?

Bas mini yang dinaiki orang ramai secara berhimpit-himpit, teksi buruk yang rosak ditengah jalan, keretapi yang selalu lambat dan macam-macam lagi 'ragam' industri pengangkutan awam sering berlaku suatu ketika dahulu.


Sekarang semuanya bergerak pantas. Menunjukkan satu peredaran zaman sedang berlaku. Begitu juga dengan sistem pengangkutan awam darat Malaysia. Ia bergerak dan berubah mengikut peredaran serta keperluan semasa.

"Kerajaan akan terus menangani keperluan pengangkutan awam darat secara holistik dan inklusif di dalam dan di luar bandar."




Itu adalah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 17 Oktober 2016 ketika majlis pelancaran Buku Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat 2010 – 2015 sekaligus merasmikan Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat SPAD 2016 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur yang bertemakan “Public Transport: Transforming the Nation.”

Tambah Najib, ia dilakukan bagi memastikan pengangkutan awam darat kekal relevan, seiring dengan keperluan rakyat dan setaraf degan standard negara maju.


Tahukah pembaca, transformasi sistem pengangkutan awam darat negara telah mencatat kemajuan yang boleh dibanggakan selaras dengan pencapaian signifikan yang diraih menerusi pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP)?

Untuk makluman, kerajaan telah melaburkan lebih RM70 bilion bagi projek-projek infrastruktur pengangkutan awam darat seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Aliran Transit Massa (MRT) dan Kereta Api Laju (HSR) yang menurut Perdana Menteri akan memberikan kesan pemangkin yang besar terhadap sosio-ekonomi Malaysia. Ini akan turut memberikan limpahan manfaat kepada masyarakat sekarang, di dalam jangka masa pendek dan panjang.

Sejujurnya penulis mengikuti secara dekat perkembangan industri pengangkutan awam darat yang disusun SPAD bersama agensi-agensi lain.


Setiap perancangan ada fasa masing-masing. Ia adalah satu proses. Tidak boleh dilakukan dalam satu-satu masa serentak. Paling utama, setiap perancangan dilakukan secara holistik atau menyeluruh.

Misalnya pembinaan MRT. Idea perkhidmatan bas pengantara adalah sesuatu yang tidak terlintas difikiran kita. Ternyata pihak SPAD berpandangan jauh dalam perkara ini apabila membina rangkaian pengangkutan awam dengan lebih sistematik.

Begitu juga industri teksi. Zaman sekarang serba canggih. Semuanya online. Semuanya dihujung jari. Tak perlu lagi lambai tangan menahan teksi sebaliknya hanya menggunakan ibu jari saja menerusi aplikasi e-hailing.

Seperti kata Perdana Menteri, transformasi pengangkutan awam darat merangkumi keseluruhannya - Kota dan desa.


Kewujudan myBAS umpamanya, ternyata memberi manfaat yang sangat bernilai buat masyarakat luar bandar.

Sedar tak sedar, ia sudah diperkenalkan sejak 2015 lagi.

MyBas dalam program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti misalnya, telah berjaya menerima respon positif dikalangan orang ramai.

Mungkin ada dikalangan pembaca yang tidak tahu atau lupa, myBas ini bermula di Perlis pada 1 Ogos tahun lepas. Terciptanya kejayaan apabila bukti menunjukkan peningkatan angka penumpang daripada 9,252 orang kepada 20,423 orang setiap bulan di Kangar. Satu peningkatan yang cukup tinggi!

myBas kemudiannya diperkenalkan pula di Seremban, Negeri Sembilan yang bermula pada 15 November 2015.

Malah, myBAS juga disebut-sebut dalam Sidang DUN Perak apabila  terdapat permintaan untuk ditambah lagi perkhidmatan MyBas Ipoh terutamanya di kawasan yang memiliki kepadatan penduduk seperti Manjoi.

Terbaharu di Terengganu, pihak SPAD sudahpun mengumumkan laluan-laluan myBAS negeri itu yang akan beroperasi pada suku kedua tahun ini.

"Fasa 1 myBAS Terengganu akan merangkumi 3 laluan utama dan 1 laluan perantara. Laluan-laluan ini akan merentasi Kuala Terengganu, Jeti Marang, Marang, Bukit Payung dan Pasir Panjang." SPAD, 22 Januari 2018.

Berikut merupakan grafik mengenai laluan yang dimaksudkan :




Tiada apa lagi yang hendak diperkatakan melainkan memanjatkan kesyukuran terhadap transformasi pengangkutan awam darat yang benar-benar memberi manfaat kepada negara serta rakyat secara menyeluruh.

Rujukan :

http://www.spad.gov.my/e-newsletter/quarter-3/majlis-pelancaran-buku-perjalanan-transformasi-5-tahun-pengangkutan-awam

http://suaralensa.blogspot.my/2017/08/pinda-akta-keadilan-dan-kebaikan-semua.html

http://suaralensa.blogspot.my/2016/01/kejayaan-mybas-sukar-disangkal.html

http://suaralensa.blogspot.my/2016/11/rakyat-suka-mybas.html

No comments:

Post a Comment