AdSense

Sunday, April 23, 2017

Solid pertahan institusi Presiden UMNO



Cakaplah apa sahaja, goncanglah sekuat manapun, majoriti Ketua UMNO Bahagian seluruh negara telahpun memutuskan untuk solid mempertahankan institusi Presiden.

Erti kata lain, segala perancangan dan strategi Pakatan Pro DAP untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi misi 'pecah-belahkan parti' langsung tidak terkesan kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh negara!

Menurut Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Taman Setapak Indah semalam, agenda memecah belahkan kepimpinan UMNO sudahpun bermula sejak sekian lama.

Pelbagai cara dilakukan pemimpin pembangkang semata-mata mahu merampas Putrajaya daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), paling ketara pada kempen pilihanraya umum ke 12 dan 13 lalu.

Daripada fitnah kes pembunuhan Altantuya, cincin 24 juta, 40 ribu pengundi Bangla dan terbaru isu 1MDB dan GST. Pembangkang juga konsisten menyerang susuk tubuh Najib dari semua sudut - kiri kanan atas belakang.

Lantas kesedaran timbul dikalangan pimpinan UMNO. Institusi Presiden harus dipertahankan walau apa jua cabaran yang datang. Presiden datang dan pergi, bersilih ganti. Semangat penyatuan ini hanyalah demi parti keramat UMNO, parti yang benar-benar dapat membela nasib rakyat.

Sementara pemimpin pembangkang atau lebih dikenali dengan Pakatan Pro DAP terus dengan strategi mereka - memecahbelahkan.

Isu ekonomi dimainkan bagi menarik minat orang Melayu. Kononnya negara akan bankrap jika Malaysia terus ditadbir BN. Kononnya ekonomi orang Melayu bertambah mundur, bertambah miskin.

Hakikatnya ia sekadar tohmahan pembangkang memperdayakan orang ramai. Lihatlah sekeliling kita hari ini, apakah Malaysia bankrap? Tidak. Kemasukan para pelabur membuktikan Malaysia adalah sebuah negara yang diyakini.

Di bawah pentadbiran Najib, ekonomi orang Melayu semakin baik. Pelbagai program dijalankan bagi membela nasib orang Melayu. Bahkan Najib baru-baru ini turut membentangkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera. Membuktikan komitmen kerajaan UMNO lantang memperjuangkan orang Melayu!

Oleh yang demikian, ahli-ahli UMNO (khususnya) dan orang Melayu (amnya) wajar meneliti 'track record' kejayaan pemerintahan UMNO dan BN hari ini. Usah lagi terpedaya dengan hasutan pembangkang. Jauhi juga janji manis pembangkang yang hanya sekadar janji. 

Beberapa negeri telah diperintah mereka namun masih gagal memberi sesuatu yang baik untuk rakyat di negeri tersebut. Apa yang ada hanyalah timbul isu rasuah membabitkan Ketua Menterinya (Pulau Pinang).

Pendakwaan di mahkamah terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan Ampang (Selangor) berhubung kes pengubahan wang haram dan pemalsuan dokumen ketika soal siasat SPRM.

'Pakar matematik' PKR juga sudah banyak kali kantoi menipu. Dulu nampak hebat dan disanjung tinggi bila mendedahkan isu cincin 24 juta. Tapi selepas kantoi menipu, beliau kata 'hanya bergurau'.

Begitu juga dengan anak Anwar iaitu Nurul Izzah. Terpaksa memohon maaf kepada Nong Chik kerana menfitnah.

Kit Siang pula dengan diktator 51 tahun. Tiada siapa yang boleh menguasai parti DAP selain Dinasti Lim. Sebenarnya ramai lagi pemimpin pembangkang yang terbabit dengan pelbagai isu fitnah, rasuah, kronisma dan nepotisma.

Adakah kita masih lagi mahu percaya pemimpin sebegini?

Sudah tentu pemimpin yang ada dalam kalangan Pakatan Pro DAP ini tidak layak untuk mentadbir Malaysia. Mereka hanya pandai cakap sahaja - "Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih."

Tolak Pakatan Pro DAP.
#TerimaFaktaTolakFitnah

No comments:

Post a Comment