“Mentega! Mentega! Mentega!” penulis tersenyum mengenangkan cerita oleh Tun Omar Ong Yoke Lin (Allahyarham) mengenai sekumpulan rakyat Malaysia yang bersemangat menyambut kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos, 1957.
“Bukan begitu. Bukan ‘Mentega’. Sebut begini, ‘Mer-de-ka…,” sambung beliau cuba membetulkan sebutan mereka.
Kisahnya, mereka adalah kumpulan peniaga berbangsa Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu (bukanlah sesuatu yang janggal ketika itu), namun sangat teruja menyambut laungan “Merdeka” sebanyak 7 kali oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Almarhum) ketika mengisytiharkan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Walaupun perbualan itu sudah hampir 20 tahun berlalu, namun celotehnya masih segar dalam ingatan penulis. Saban tahun, apabila menjelang Hari Kebangsaan, pastinya penulis akan terkenangkan Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Ling.
Siapakah Omar Ong Yoke Lin? Tidak menghairankan sekiranya kalangan generasi sekarang tidak mengenali beliau. Tun Omar dilahirkan pada 23 Julai,1917 dan meninggal dunia pada 1 Julai, 2010.
Beliau adalah seorang daripada pengasas MCA, orang yang pertama membawa masuk alat penyaman udara ke Tanah Melayu, seorang ahli perniagaan, anggota politik, pejuang kemerdekaan dan diplomat. Beliau pernah memegang pelbagai portfolio dalam kabinet sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Berpeluang mengenali beliau pada usianya menjangkau 82 tahun ketika itu, penulis amat kagum dengan daya ingatannya yang mampu mengingati setiap detik yang dilalui. Banyak diceritakan kisah-kisah silam terutamanya ‘jalan’ menuju kemerdekaan. Ada yang penuh pengajaran, sedih, gembira dan ada pula yang mencuit hati.
Boleh dikatakan kemerdekaan negara ini tidak sukar diperoleh, tidak berlaku peperangan mahupun pertumpahan darah, walaupun pelbagai peristiwa suka duka dilalui demi membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, demikian menurut beliau kepada penulis,
Dengan suara yang sebak, Tun Omar mengakui tidak dapat menahan air mata semasa Tunku Abdul Rahman pertama kali mengisytiharkan kemerdekaan. Sejak itu, setiap 31 Ogos, begitulah keadaan beliau kerana perasaan itu sentiasa segar di dalam jiwanya.
Detik menjadi hamba British, hamba Jepun
Penulis masih mengingati perbualan dengan Tun Omar, “Banyak yang saya lalui. Setahun pun tak habis cerita. Ringkasnya, British menyusahkan kita. Saya pernah sorokkan bijih timah kerana mereka letakkan harga terlalu murah, saya menjualnya bila habis musim British membeli. Masa jadi menteri, saya pernah ‘culik’ seorang rakan yang juga menteri dan membawanya melihat Hospital Besar Kuala Lumpur yang uzur, sebagai usaha mendapatkan peruntukan. Ya, saya dapat. Saya pernah kena tempeleng dengan tentera Jepun dan banyak lagi,”
Zaman Jepun pun teruk, katanya. Walaupun tentera Jepun bermaharajalela dan kejam, beliau mengakui mendapat banyak pengajaran yang mendewasakan dirinya.
Bayangkanlah betapa orang ramai sangat takut jika terserempak tentera Jepun, mereka lari bertempiaran atau segera bersembunyi dalam parit.
Sama ada sedang berjalan, berbasikal atau berkereta, orang ramai perlu berhenti, turun dari kenderaan dan tunduk 90 darjah di hadapan tentera Jepun sebelum meneruskan perjalanan.
Suatu hari Tun Omar sedang berbasikal sambil berangan-angan, tanpa disedari beliau melintasi pondok kawalan tentera Jepun tanpa berhenti mengayuh basikal.
Tentera Jepun menengking sehinggakan beliau terkejut dan terjatuh basikal. Tentera itu meluru ke arahnya lantas menempelengnya beberapa kali sambil memaki hamun.
“Saya amat marah dan berikrar di dalam hati untuk balas dendam. Saya akan tampar sekuat mungkin setiap tentera Jepun di seluruh negara apabila mereka ditewaskan oleh British,” katanya tersenyum.
Tunku, seorang gentleman
Menceritakan hal Tunku Abdul Rahman, nyata Tun Omar sangat menghormati dan memujinya. Beliau bercerita kisah-kisah perjalanan Tunku Abdul Rahman sebelum dan selepas merdeka.
“Tunku benar-benar gentleman. Kelengkapan pejabatnya ala kadar, banglonya usang. Tidak sesuai jika dibandingkan tarafnya sebagai ketua sebuah parti terbesar di Malaya.
“Ketika di London, kerana tidak ada duit, Tunku bukan sahaja tinggal di hotel murah, malah berkongsi bilik. Tunku tidak dapat tidur kerana rakannya kuat berdengkur. Esoknya, Tunku buat perjanjian, meminta rakannya supaya tidak tidur sehingga Tunku tidur dahulu. Tapi perkara serupa berulang,” nyata beliau terhibur bercerita masa lampau. Sesekali beliau merenung jauh, seakan-akan mengenangkan sesuatu sebelum menyambung kisahnya.
Sebagai antara pengasas MCA (1952), Tun Omar menjadi Ketua MCA Selangor dan kemudiannya Naib Presiden MCA.
Allahyarham bukan sahaja antara perintis ke arah pembentukan Perikatan MCA-Umno malah merupakan salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan malah antara anggota kabinet pertama negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.
Jasa Tun Omar kepada negara
Tun Omar juga adalah seorang daripada 4 anggota parti Perikatan yang menggubal Perlembagaan Tanah Melayu di London pada April 1957. Beliau juga antara orang yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963.
Selepas penubuhan Malaysia, Tun Omar berkhidmat pula sebagai Menteri Tidak Berportfolio sehingga 1972, juga menjadi Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau pernah menjadi Menteri Pos dan Telekomunikasi, Menteri Pengangkutan, Menteri Buruh & Kebajikan Sosial dan Menteri Kesihatan ketika hayatnya. Akhirnya, beliau dilantik sebagai Presiden Dewan Negara – sehingga bersara pada tahun 1980.
Lihatlah betapa banyaknya jasa Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin. Keakraban Allahyarham Tun Omar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman memang diketahui umum.
Tun Omar menunjukkan coretan Tuanku Abdul Rahman bertarikh 19 Mei, 1977 di muka awal bukunya bertajuk Looking Back:
“Kepada Omar Yoke Lin, rakan seperjuangan yang melahirkan Perikatan Melayu-Cina untuk mencapai Kemerdekaan dan kini menjadi saudara seIslam. Jika lebih ramai dapat menteladani beliau, tanah air milik kita ini akan menjadi aman dan makmur selama-lamanya. Insya-Allah.”
Coretan Tunku pada sebuah lagi bukunya bertajuk Something to Remember pula:
“Omar Yoke Lin, selagi jantung saya masih berdegup, saya akan terus mengingati saudara sebagai antara teman saya yang paling rapat, sahabat seperjuangan dan saudara seIslam.”
Jasa Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin dan rakan seangkatannya akan terus diingati. Keperibadiannya yang sangat sopan dan lembut tutur kata sering menjadi buah mulut sesiapa sahaja yang mengenalinya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Sempena Hari Kebangsaan akan datang, wajar kita lihat sejarah lampau, kemudian pandang sekeliling dan cuba mengisi kemerdekaan sebaik mungkin agar masa hadapan negara tidak dipersiakan.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis, Sarimah Othman dan tidak membayangkan pendirian Bernama dalam apa yang diperkatakan oleh penulis.)
Al Fatihah (dibaca) buat Tun Omar dan semua pejuang kemerdekaan negara serta bapa-bapa, ibu-ibu yang telah pergi mengadap Illahi.
Artikel Bernama ini disiarkan di portal Free Malaysia Today bertarikh 23 Ogos 2017
Syabas penulis Sarimah Othman, Bernama dan FMT. SL mohon simpan artikel ini di sini sebagai backup, takut artikel emas ini hilang ditelan zaman.
Maklumat tambahan mengenai Tun Omar di sini (Pustaka Ilmu Arkib Negara)
Tun Omar Ong Yoke Lin, pengasas MCA yang menjadi Wakil Tetap Malaysia ke PBB |
No comments:
Post a Comment