AdSense

Thursday, April 19, 2018

#myBAS Johor Bahru : 249 buah bas, 27 laluan


Bukan cakap kosong, bukan janji kosong, bukan sembang pilihanraya. Sebaliknya ia dilaksanakan demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Inilah myBAS, satu projek di bawah program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) yang dilaksana pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Untuk makluman, SBST ini telah bermula sejak tahun 2015 lagi di ibu negeri - ibu negeri bermula dengan Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu.


Pada 11 April 2018 baru-baru ini, pihak SPAD telah memeterai kontrak myBAS Johor Bahru bersama Handal Indah Sdn Bhd (Handal Indah).


Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi SPAD, Puan Qamar Wan Noor, dan Pengarah Urusan Handal Indah, En. Lim Han Weng. Pemeteraian kontrak tersebut telah disaksikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd Isa Abdul Samad. 

SPAD dalam satu siaran media memberitahu, perkhidmatan myBAS di Johor Bahru akan memperkenalkan 27 laluan utama dan perantara yang mencecah jarak perjalanan 16.8 juta kilometer setahun, dengan kekerapan setiap 20 minit berbanding kekerapan setiap 30 minit sebelum ini. Ini akan membolehkan pengguna di Johor Bahru dan kawasan sekitar untuk menikmati perkhidmatan bas yang boleh dipercayai dan serta lebih menyeluruh.  


Sebanyak 249 bas terdiri daripada 222 bas diesel dan 27 bas elektrik, akan dimasukkan ke dalam perkhidmatan myBAS Johor Bahru secara berperingkat, bermula daripada suku ketiga 2018 sehingga suku kedua 2019. Pelaksanaan perkhidmatan ini akan mengutamakan laluan-laluan yang mempunyai jumlah penumpang yang tinggi. Manakala fasa terakhir akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik. Handal Indah sebagai Pengendali Rangkaian (Network Operator) akan mengendalikan laluan-laluan tersebut dan akan disokong oleh pengendali-pengendali tempatan. 
myBas Johor Bahru akan menggunakan empat jenis bas, termasuk bas panjang yang mempunyai kapasiti 65 penumpang (berdiri dan duduk), bas ‘midi’ berkapasiti 50 penumpang, bas mini berkapasiti 30 penumpang dan bas elektrik saiz panjang dengan kapasiti bagi 65 penumpang. 

Kerajaan Pusat telah memperkenalkan program SBST melalui SPAD pada 2015 di ibu negeri- ibu negeri bermula dengan Kangar, Seremban, Ipoh dan baru-baru ini di Kuala Terengganu. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk mempertingkatkan pengangkutan awam darat, mobiliti dan akses rakyat bagi kawasan-kawasan di mana bas berhenti-henti masih menjadi mod pengangkutan awam darat yang utama. 


Di bawah model ini, SPAD sebagai agensi perancang akan bertanggungjawab ke atas rangkaian bas, kos operasi dan akan menerima kutipan tambang. Pengendali pula akan dibayar mengikut Kos Pengendalian Kenderaan (Vehicle Operating Cost, VOC) bagi setiap kilometer dan perlu mematuhi tahap perkhidmatan yang dipersetujui di dalam kontrak bagi memastikan penumpang dapat menikmati kesaling hubungan dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang lebih baik. 

Pada Januari 2017, Kerajaan Pusat telah meluluskan pelaksanaan program SBST bagi kesemua ibu negeri-ibu negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. myBAS Johor Bahru adalah pelaksanaan terbaru program ini. 

Program SBST bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti yang selamat, relevan dan boleh dipercayai, serta bagi meningkatkan nilai perkhidmatan bas di dalam jangka masa panjang. myBAS juga akan menyediakan perkhidmatan bagi laluan-laluan sosial yang sebelum ini tidak mempunyai perkhidmatan bas. Perkhidmatan myBAS sehingga Februari 2018 telah mencapai jumlah penumpang terkumpul seramai 10.6 juta orang bagi Kangar, Seremban dan Ipoh. Secara keseluruhan, terdapat 56 laluan myBAS bagi Kangar, Seremban, Ipoh dah Kuala Terengganu dengan jumlah jarak terkumpul 1,723km.

Syukur, satu lagi program yang memberi manfaat kepada masyarakat berjaya dilaksanakan!

Artikel berkaitan : 

Rakyat suka #MyBas
http://suaralensa.blogspot.my/2016/11/rakyat-suka-mybas.html

Info khas buat pengguna myBAS Seremban
http://suaralensa.blogspot.my/2017/08/info-khas-buat-pengguna-mybas-seremban.html

Fakta tentang myBAS Ipoh yang perlu anda tahu
http://suaralensa.blogspot.my/2016/09/fakta-tentang-mybas-ipoh-yang-perlu.html

Kejayaan myBas sukar disangkal
http://suaralensa.blogspot.my/2016/01/kejayaan-mybas-sukar-disangkal.html

Pengurusan cekap : myBAS Kuala Terengganu beroperasi lebih awal daripada jadual
http://suaralensa.blogspot.my/2018/03/pengurusan-cekap-mybas-kuala-terengganu.html

No comments:

Post a Comment