Perkembangan terkini di Kuala Lumpur telah menonjolkan satu kontras yang ketara dalam senario politik tanah air, di mana pemimpin DAP seperti YB Hannah Yeoh dan YB Teresa Kok telah berjaya menukar status tanah kediaman penduduk di kawasan mereka daripada status pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold). Kejayaan di Taman Segar, Cheras dan Seputeh ini membuktikan dengan jelas bagaimana mereka sangat memahami matlamat dan perjuangan mereka dalam mengabsahkan hak pemilikan tanah untuk komuniti mereka. Namun begitu, hal ini secara langsung menyerlahkan suatu realiti yang amat malang, iaitu ketiadaan kesungguhan dan keinginan dalam kalangan ahli politik Melayu serta beragama Islam untuk memperjuangkan perkara yang sama bagi bangsa mereka sendiri.
Akar kepada permasalahan pemilikan ini berkait rapat dengan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 1965) yang mengadaptasi sistem tanah Torren tinggalan kolonial British, yang membahagikan status tempat tinggal kepada pegangan penuh atau pajakan. Status pajakan ini meletakkan beban yang besar kepada rakyat kerana pemilikan mereka mempunyai tarikh luput, dan pembaharuan bersama Pihak Berkuasa Negeri (PBN) akan menelan kos premium yang membebankan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. Lebih kritikal lagi, status pajakan ini merampas autonomi pemilik; PBN boleh mengambil semula tanah tersebut pada bila-bila masa untuk tujuan pembangunan tanpa membayar satu sen pun pampasan, menyebabkan rakyat hilang kedaulatan di atas tanah yang telah dibayar berpuluh tahun lamanya.
Di sinilah kritikan paling tajam wajar dilemparkan kepada para pemimpin Melayu yang dilihat culas dan gagal, sama ada berpunca daripada sikap jahil mahupun sifat malas mereka sendiri. Ketika pemimpin kaum lain bersungguh-sungguh mengangkat darjat pemilikan tanah rakyat mereka, tindakan menukarkan status leasehold kepada freehold ini seakan-akan tidak dihiraukan oleh pemimpin Melayu untuk diaplikasikan kepada kawasan orang Melayu. Kegagalan pemimpin Melayu ini bermakna mereka membiarkan bangsa sendiri berisiko hilang tempat tinggal dan tergadai kedaulatan mereka di tanah tumpah darah sendiri.
Kegagalan ini bertambah ironis apabila ia dinilai dari sudut pandang Islam, di mana tanah sepatutnya melambangkan kedaulatan dan merupakan hak asasi manusia yang tidak boleh dimonopoli secara mutlak oleh mana-mana pihak, termasuklah kerajaan. Manusia bertindak sebagai khalifah di muka bumi, dan tanah bukanlah sekadar mempunyai nilai komersial semata-mata. Pemimpin Melayu Islam sepatutnya menggunakan prinsip fundamental ini untuk bertegas dan mendesak supaya hak pemilikan tanah orang Melayu Islam turut disahkan secara penuh.
Kesimpulannya, dua kes kejayaan yang dicapai secara berturutan di parlimen Seputeh dan Cheras itu sepatutnya menjadi ibarat batu yang menghempas ke dalam kolam yang penuh mendapan, mengejutkan para politikus Melayu Islam daripada terus lena. Tindakan menaik taraf pemilikan tanah ini adalah suatu usaha yang sangat baik dan tidak sepatutnya terhenti sekadar di kawasan kediaman warga Cina sahaja. Pemimpin Melayu yang mendakwa cintakan tanah air wajib membuka mata, bangkit dari kemalasan, dan bertindak secara proaktif untuk memastikan orang Melayu Islam tidak terus tersisih dan hilang tanah di negara sendiri.
Setakat jerit-jerit, main ugut-ugut nak boikot sana boikot sini di media sosial buat apa? Kita nak hasil. Bukan nampak hebat di media sosial tapi habuk pun tarak! Jadi politican bukan nak kayakan diri sendiri dan kroni saja. Waktu pilihan raya terhegeh-hegeh rayu undi. Dah dapat undi, dah berkuasa, terus sombong!

No comments:
Post a Comment