AdSense

Friday, September 13, 2024

KENYATAAN PKPU BERHUBUNG KENYATAAN DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDIN MENGENAI PERANAN JAKIM DALAM ISU GISBH

 



1. Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) JAKIM ingin merujuk kenyataan yang dibuat oleh Dr. Abu Hafiz Salleh Huddin melalui media sosial berkenaan peranan JAKIM dalam isu GISBH. Kenyataan tersebut telah menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif di kalangan orang ramai mengenai peranan serta fungsi JAKIM. Justeru, PKPU merasa perlu memberikan penjelasan dan mempertahankan fakta-fakta yang telah dinyatakan. Kami ingin menegaskan bahawa pandangan yang diberikan tidak tepat serta tidak mewakili peranan sebenar JAKIM.


2. Adalah penting untuk difahami bahawa JAKIM adalah sebuah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). JAKIM juga bertanggungjawab kepada Kabinet dan melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan.


3. JAKIM bukan sebuah agensi yang berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang. Oleh itu, isu-isu yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, seperti kes GISBH, bukan di bawah bidang kuasa JAKIM. Walau bagaimanapun, JAKIM sentiasa bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.


4. PKPU ingin menekankan, dalam konteks isu berkaitan hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu, khususnya apabila melibatkan bidang kuasa negeri-negeri. Oleh itu, JAKIM sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil adalah selari dengan peruntukan undang-undang.


5. PKPU yakin bahawa di bawah kepimpinan YB Menteri Hal Ehwal Agama, JAKIM sentiasa menjalankan tugas secara profesional dan telus, tanpa sebarang kepentingan peribadi. Kami juga percaya bahawa usaha JAKIM untuk mempertahankan akidah, syariah, dan akhlak Islam akan terus diperkukuhkan melalui pendekatan yang bijaksana dan kerjasama erat dengan agensi-agensi yang berkaitan.


Sekian.


Kolonel Datuk Haji Mohd. Ajib bin Ismail  

Presiden PKPU JAKIM  

12 September 2024

No comments:

Post a Comment