AdSense

Friday, October 13, 2017

RM178.9 BILION : KERAJAAN TELAH BELANJA UNTUK KESIHATAN RAKYAT MALAYSIA


Kita sering dengar mengenai betapa kesihatan adalah perkara yang paling berharga di dunia, bak kata pepatah “Health is Wealth.” Kerajaan sedar akan perkara ini lantas telah melaksanakan pelbagai inisiatif, usaha dan membelanjakan RM178.9 bilion sejak 2009 bagi terus menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti buat rakyat Malaysia.


Salah satu daripadanya adalah inisiatif Klinik 1Malaysia, yang mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan telah berkembang sehingga kini mempunyai 361 cawangan di seluruh negara.

Klinik 1Malaysia ditempatkan di lokasi-lokasi strategik seluruh negara, dibuka 7 hari seminggu dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menawarkan rawatan ringan pada caj cuma RM1, malah percuma buat warga emas dan orang kelainan upaya.

Baru-baru ini juga saya ada baca perkongsian di media sosial mengenai bagaimana Klinik 1Malaysia menyelamatkan nyawa pesakit akibat alahan kepada lebah, melalui diagnosis tepat keadaan pesakit dan bermacam-macam lagi.

Tambahan kepada itu, kerajaan turut mengumumkan banyak kemudahan dan fasiliti lain buat rakyat Malaysa, seperti membina dan menaik taraf 6 buah hospital di Perak, Sarawak, Kelantan, Kedah, dan Sabah.

Manakala, Pusat Kanser dan Pusat Jantung juga disediakan di hospital-hospital utama di setiap zon, yang telah memberi rawatan kepada lebih 300,000 pesakit.

Kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta setiap tahun bagi meringankan kos rawatan hemodialisis, yang telah memanfaatkan seramai 1.5 juta pesakit.

Pada masa sama, Kerajaan turut melihat kepada penjanaan sektor ekonomi negara dan meningkatkan peluang pekerjaan melalui industri pelancongan kesihatan. Pada tahun 2016, industri ini berjaya menjana pendapatan RM1.12 bilion, dan kita menyasarkan untuk ia menjana RM2.8 bilion menjelang tahun 2020 nanti.

Malaysia mempunyai banyak kelebihan bagi pelancongan kesihatan, antara lain; kepakaran doktor-doktor antara yang terbaik di dunia, perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja lebih berkualiti tetapi juga jauh lebih murah, contohnya pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat menelan belanja antara US$70,000 hingga US$200,000, tetapi di Malaysia harga puratanya sekadar US$9,000.

Kesemua ini dan banyak lagi telah membawa kepada Malaysia dinobatkan Destinasi Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Terbaik dunia selama 3 tahun berturut-turut.

Berbalik kepada perkhidmatan kesihatan di dalam negara, saya maklum bahawa kita perlu sentiasa melakukan pemantauan, penyelenggaraan dan penambahbaikan terhadap bukan sahaja infrastruktur dan bangunan, tetapi juga dari segi tahap dan kualiti kehidupan kakitangan yang bertugas dalam bidang kesihatan.

Insya-Allah, kesemua ini akan diberi perhatian serius dan dipertimbangkan secara mendalam oleh Kerajaan, agar rakyat Malaysia akan dapat terus menikmati penjagaan kesihatan berkualiti di mana jua mereka berada.

NajibRazak.com

Nantikan pembentangan #Bajet2018 tidak lama lagi.


No comments:

Post a Comment