AdSense

Thursday, June 29, 2017

Aidilfitri 2017 : SPAD dan agensi periksa 4,861 kenderaan, 293 kesalahan dikesan


Semasa berhari raya di kampung baru-baru ini, penulis ada bersembang dengan sahabat yang pulang menaiki pengangkutan awam - bas ekspres. Katanya, harga tambang tidak seperti biasa.

Ianya lebih mahal berbanding hari biasa - bukan musim perayaan.


Kisah ini mengejutkan penulis tambahan pula sahabat ini cuba menyalahkan kerajaan kononnya mencekik darah serta mengambil kesempatan.

Ternyata tanggapan sahabat penulis ini tidak tepat. Apa yang berlakunya sebenarnya wujud pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan tambang sesuka hati pada musim cuti perayaan baru-baru ini.

Ianya terbongkar semasa pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjalankan operasi bersepadu bersama beberapa agensi sejak 12 Jun lalu.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 293 kesalahan berjaya dikesan dengan membabitkan pemeriksaan 4, 861 buah kenderaan. Mengikut pecahan, sebanyak 3,445 buah bas diperiksa, teksi (932) dan lori (484).

Memetik kenyataan Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, sebanyak 154 kes membabitkan bas.

"Antara kesalahan yang dilakukan termasuk mengenakan tambang berlebihan kepada pengguna, tidak mempunyai dokumen pemandu serta menurunkan penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Manakala bagi teksi sebanyak 37 kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki kad pemandu serta gagal mengemukakan permit selain tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang.

"Bagi lori sebanyak 102 kesalahan dikenal pasti termasuk membawa muatan berlebihan dan gagal mengemukakan permit."

Ternyata kesalahan-kesalahan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan memandang ringan soal keselamatan penumpang. Terima kasih dan sekalung penghargaan wajar diberikan kepada pihak SPAD dan agensi-agensi terlibat yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan orang ramai.

Untuk makluman, operasi bersepadu ini akan dijalankan sehingga 2 Julai 2017 melibatkan seramai 380 anggota penguat kuasa SPAD di seluruh negara dan agensi penguatkuasaan lain.

No comments:

Post a Comment