Thursday, March 23, 2017

Tarik diri tanding Presiden FAM : Annuar Musa buat keputusan bijak


Kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang panas sebelum ini mula sejuk selepas seorang daripada dua calonnya iaitu Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penarikan diri daripada bertanding.

Annuar yang juga merupakan Penasihat Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu turut menegaskan bahawa keputusan beliau ini bukanlah atas desakan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.


Ketika mengumumkan keputusan itu, beliau turut memohon maaf kepada penyokong yang mahukan dirinya bertanding kerana membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu.

Bagi Annuar, beliau tidak mahu dipengaruhi oleh sesiapa. Biarlah keputusan yang diambil itu lahir daripada isi hatinya sendiri.

Selain itu, faktor utama Annuar menarik diri ialah kerana mahu fokus pada kerja-kerja untuk partinya apatah lagi semboyan pilihanraya umum ke 14 (PRU14) semakin kuat berbunyi. Tambahan pula, beliau juga merupakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Ahli Parlimen Ketereh. Maka itu keputusan Annuar ini dilihat tepat dan bijak.

Dalam sidang media sama, Annuar turut mendedahkan perbualan SMS antara beliau dengan seorang lagi calon Presiden FAM iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 16 November tahun lalu.

"Waktu itu saya ada berjanji untuk mengikhtiarkan agar baginda menang tanpa bertanding. Hari ini saya tunaikan janji itu," kata Annuar.

Sedia maklum, sepatutnya pemilihan jawatan dalam kepimpinan FAM akan berlangsung pada hari Sabtu ini. Namun selepas Annuar mengumumkan penarikan pencalonan, ini bermakna TMJ layak menjadi Presiden FAM tanpa bertanding.

Walaubagaimanapun, menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, TMJ akan ditabalkan secara sah sebagai Presiden FAM hanya pada hari Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment