Thursday, March 23, 2017

Isu UEC : Lepas baca sampai habis, baru faham


Mungkin ramai yang tidak memahami secara jelas tentang isu pengiktirafan Unified Examimation Certificate (UEC) ini selepas Ahli Parlimen Ketereh (BN) Tan Sri Annuar Musa membawanya ke sidang Dewan Rakyat pada 16 Mac baru-baru ini.

Walaupun hanya berucap dalam tempoh singkat iaitu satu minit 15 saat, namun ia memberi kesan bukan sahaja dalam dewan tetapi juga masyarakat di luar.

Tanpa mendapatkan penjelasan sebenar, maka 'bangkitlah' beberapa pemimpin termasuk dalam kalangan BN sendiri dan NGO-NGO Melayu / Islam membelasah Annuar selumat-lumatnya.


"Bermatian-matian" mahu mengiktiraf UEC dan "melutut" pada Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) merupakan antara kecaman yang dilemparkan kepada Annuar.

Namun Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO itu kekal berdiri tegap bahkan boleh ditemubual secara eksklusif bersama Agenda Daily dan BNBBC di bangunan Parlimen semalam bagi menjelaskan secara terperinci berhubung salahtanggapan berkenaan.

Selepas mendengar rakaman suara yang diperolehi, Suara Lensa boleh merumuskan bahawa apa yang diperkatakan Annuar bersandarkan kepada fakta, sejarah dan realiti.

Artikel ini mungkin panjang sedikit bagi menjelaskan perkara sebenar. Tambahan pula sesi temubual yang dijalankan ini berlangsung selama kira-kira satu jam setengah.

Diharapkan pembaca membaca artikel ini sehingga tamat jika mahu mendapatkan maklumat yang sahih lagi lengkap.

UEC atau Sijil Peperiksaan Bersepadu ini mula heboh diperkatakan selepas sebuah akhbar bukan berbahasa Melayu mengatakan bahawa Annuar dipecat daripada menjadi Pengerusi MARA kerana menyokong UEC.

Walhal beliau direhatkan atas sebab isu tajaan bola Kelantan. Pihak Annuar telahpun berjumpa dengan pihak akhbar tersebut dan menjelaskan perkara sebenar. Dalam masa sama Annuar tidak berhasrat untuk memanjang isu tersebut. Cukup setakat itu.

Namun kenyataan Annuar disalahtafsir oleh sesetengah pihak. Biarpun dihentam, Annuar kekal dengan pendirian dan hujahnya. Malah, beliau sendiri tidak berhasrat untuk menghentam semula pihak-pihak tersebut.

"Biar orang tembak saya atas ketidakfahaman mereka. Saya rela ditembak oleh mereka yang tidak memahami perkara sebenar." kata Annuar tenang.

Jelas Annuar, ini bukan soal iktiraf atau tidak iktiraf. Sebenarnya UEC telahpun diiktiraf sebagai sijil kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Maktab Perguruan. Pengiktirafan itu ada dalam sekular bertulis kerajaan.

Keduanya, UEC tidak diiktiraf secara spesifik sebagai sijil kelayakan untuk masuk ke Institut Pengajian Awam Swasta (IPTA) dan sebagai sijil untuk memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam.

"Tetapi ramai yang tidak mendalami, dan mereka rangkum sekali antara iktiraf dan tak iktiraf," katanya.

Untuk makluman pembaca, terdapat dua sebab kenapa UEC tidak diiktiraf bagi kemasukan ke IPTA dan Perkhidmatan Awam.

"Pertama ialah taraf Bahasa Melayu, di mana korikulum mereka dikatakan tidak setara dengan korikulum Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Keduanya content (kandungan) mata pelajaran Sejarah yang mereka ajar dikatakan tidak memadai dengan content Sejarah yang dikehendaki oleh Kementerian. Content Sejarah mereka ialah 30% sejarah dunia, 30% sejarah negara China dan 30-40% sejarah Asia yang mana sejarah Malaysia menjadi sebahagian dari sejarah Asia." kata Annuar.

Kenapa perlu layan Dong Zong yang hanya mewakili 60 buah sekolah persendirian Cina ini?

Ini bukan soal layan atau tidak layan. Apa kata kita selak kembali lipatan sejarah. Dong Zong sudah wujud pada tahun 1954, pada ketika negara belum mencapai kemerdekaan dan belum wujud perlembagaan persekutuan pun lagi.

"Sekolah-sekolah persendirian Cina wujud sebelum kita Merdeka. Apabila kita Merdeka, kita membuat perlembagaan, tetapi sekolah-sekolah ini dibenar untuk diteruskan.

"Bila ia dibenar diteruskan, bererti ia ada lesen. Ia bukan sekolah haram. Ertinya ia lulus di bawah akta yang ada dan dibenarkan di bawah perlembagaan.

"Mengikut perlembagaan, ia boleh wujud. Tetapi apabila ia tidak mengikut dasar kerajaan, ia tak berhak menerima bantuan kerajaan. Ia kena tanggung sendiri semuanya seperti bangunan sendiri, guru sendiri, buku sendiri. Itulah yang berlaku. Sebanyak 60 buah sekolah memilih untuk kekal sebagai sekolah persendirian Cina dengan persijilan mereka sendiri," jelas Annuar.

Annuar sebelum ini mengambil langkah sendiri untuk menemui Dong Zong setelah mendapati perubahan kepimpinan organisasi itu yang dilihat lebih terbuka dan sedia berunding.

"Maka saya kata dalam ucapan di parlimen, kita harus reciprocate (bertindak balas), berunding atas perkara-perkara terutama dalam soal Bahasa Melayu dan Sejarah dan terpulanglah kepada hasil rundingan itu nanti. Sama ada nak iktiraf atau tidak.

"Cuma, pendapat saya secara umum, UEC ini tidak boleh dilihat secara perkauman. UEC bukan soal orang Cina. UEC adalah soal pendidikan dan soal content yang perlu menepati dasar pelajaran kebangsaan, perlu mematuhi akta pelajaran, dan perlu menghormati perlembagaan negara. Itu tidak ada kompromi. Itu wajib.

"Kedudukan UEC dan sekolah-sekolah persendirian Cina mestilah selari dengan perlembagaan, tidak bercanggah dengan akta dan menghormati dasar pelajaran kebangsaan."

Annuar menyifatkan ramai pihak membincangkan isu UEC ini mengikut emosi semata-mata.

"Eloklah perkara ini dibincang secara tenang. Kita menghargai orang yang mencintai bahasa, yang memperjuangkan dasar pelajaran kebangsaan dan orang Melayu. Kita semua terlibat dalam hal itu. Mungkin caranya berbeza.

"Kalau nak dikatakan hanya kerana saya bangkitkan isu UEC, maka saya bukan lagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara yang menjadi teras kepada dasar dan perlembagaan UMNO, itu dah lari terlalu jauh," tegas beliau.

Siapa Annuar untuk berjumpa Dong Zong? Atas kapasiti apa?

Kata Annuar, beliau menghantar nota kepada Dong Zong dan memberitahu untuk bertemu atas kapasiti peribadi. Walaupun yang demikian, beliau yang menjawatan jawatan di dalam parti terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Presiden.

"Dalam parlimen pun saya sebut pendapat saya secara peribadi kerana dari segi parti dan kerajaan, benda ini belum bincang sampai ke tahap yang saya bincang.

"Saya beri pandangan peribadi. Saya tak kata suruh iktiraf UEC. Tetapi kalau parti atau kerajaan kata jangan iktiraf dan saya pula kata kena iktiraf, itu barulah bercanggah."

Ketua Penerangan UMNO melutut pada Dong Zong?

"Mereka kata saya melutut jumpa Dong Zong. Padahal di depan jawatankuasa Dong Zong yang ada 20-30 orang, saya cakap direct - Dong Zong mestilah menghormati dasar pelajaran kebangsaan. Dalam negara ini tak ada tempat untuk berfikiran cauvinis. Orang tembak jauh. Saya tembak depan-depan. Itu bezanya."

Demikian jawab Annuar ketika ditanya tentang dakwaan sesetengah pihak terhadap dirinya.

Selain itu Annuar turut berlapang dada untuk mengadakan pertemuan dengan Majlis Perundangan Melayu dan menawarkan diri untuk berjumpa secara tertib dengan beberapa pihak yang lantang mengkritiknya seperti PERKASA, GAPENA dan PENA.

Mudahan-mudahan artikel dan penjelasan panjang lebar Annuar ini memberi kefahaman yang jelas buat pembaca.

No comments:

Post a Comment