Sunday, January 22, 2017

SPAD tambah pegawai sempena Tahun Baru Cina


Kajian  Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menunjukkan bahawa 66% kemalangan serius jalan raya adalah disebabkan oleh faktor manusia.


Maka itu langkah pemantauan harus digerakkan secara maksima. Inilah yang sedang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sempena musim cuti perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Seramai 41 orang pegawai yang baru tamat latihan Kursus Asas dan Induksi Pegawai Penguatkuasa SPAD diserapkan serta-merta dalam Operasi Khas Tahun Baru Cina bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti JPJ, PDRM dan AADK bagi mengekang kejadian kemalangan jalan raya.

Operasi akan bermula pada 21 Januari sehingga 5 Februari, termasuk penugasan anggota selama 24 jam pada 27 Januari sehingga 1 Februari 2017.


Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan, Major Jeneral (B) Dato’ Paduka Che Hasni Che Ahmad memberitahu, antara tugasan anggota penguatkuasa SPAD pada musim perayaan ini termasuk pemeriksaan kaunter, pemantauan penjualan tiket dan ulat, pemeriksaan dokumen bas di terminal, pemantauan dan rondaan terhadap penggunaan meter teksi di pusat bandar, dan penyamaran di dalam bas ekspres.

Pada 20 Januari 2017 semasa majlis perbarisan tamat latihan 41 anggota penguatkuasa tersebut, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar mengingatkan bahawa anggota penguatkuasaan SPAD perlu memainkan peranan penting di dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Pengerusi SPAD beramah mesra dengan pegawai penguatkuasa SPAD. Foto Intan Nur Elliana Zakaria, BH

Untuk makluman, SPAD memiliki seramai 343 anggota penguatkuasaan sebelum ini.

Barisan anggota terbaru ini yang terdiri daripada pemegang ijazah dan diploma berumur di antara 23 dan 30 tahun telah menjalani kursus intensif selama 2 bulan yang merangkumi bidang perundangan, penguatkuasaan dan operasi, tatacara pemeriksaan dan sekatan jalan raya, siasatan dan pendakwaan, Kod Amalan Industri Keselamatan (SPAD ICOP Safety), etika penguatkuasaan dan ilmu beladiri.


Rekod sejak tahun 2011 sehingga 2016, bahagian penguatkuasaan SPAD telah menjalankan 821,721 pemeriksaan ke atas Kenderaan Perdagangan, Kenderaan Pengangkutan Awam dan Kenderaan Pelancongan.

Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 35,256 kes telah dikenalpasti, di mana tindakan perundangan telah dan sedang diambil ke atas pengendali dan pemandu terbabit.

Pada tahun 2016, sebanyak 7,873 operasi telah dijalankan oleh bahagian penguatkuasaan SPAD.

SPAD dalam kenyataan rasminya berharap dengan penambahan anggota penguatkuasa ini, pencapaian ini dapat dipertingkatkan lagi bagi mentransformasikan landskap pengangkutan awam darat negara.

Dalam masa sama SPAD turut memberikan peringatan kepada pengendali pengangkutan awam darat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi had laju di jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

Orang ramai juga digalakkan membuat laporan terhadap pengendali dan pemandu yang tidak berhemah dan melanggar peraturan kepada SPAD melalui talian hotline 24-jam SPAD 1-800-88-SPAD (7723) atau emel kepada aduan@spad.gov.my atau Twitter kepada @aduanSPAD


No comments:

Post a Comment