Monday, January 23, 2017

Seronok baca tulisan terbaru Ketua Penerangan PAS ni...


TUN Mahathir belum puas dengan gaya kepimpinan diktatornya. Kini beliau mahu menguasai PH. Memang beliau boleh menguasai PH dan PH dilihat sangat perlukan orang seperti Tun Mahathir untuk kekalkan survival politik mereka. Tetapi tidak PAS.


PAS tidak perlukan pemimpin angkuh seperti Tun Mahathir. Tun Mahathir sebenarnya bukan merendahkan PAS tetapi gerun dengan keupayaan PAS.

Target utama Tun Mahathir bukan untuk mengalahkan Umno tetapi sasaran utama beliau ialah PAS. Hasil dendam dan keangkuhan beliau yang gagal menundukkan PAS agar menurut kemahuannya menyebabkan beliau meletakkan PAS sebagai musuh utama.

Serangan beliau sering dihala kepada PAS. Namun mereka cuba bersembunyi di sebalik tohmahan yang mereka cipta kononnya PAS akan bergabung dengan Umno dan memenangkan Umno melalui pertandingan 3 atau 4 penjuru.


PAS tidak akan pernah berganjak dari pendiriannya. Sejak dulu kita konsisten menentang kemungkaran politik dan ekonomi negara tanpa mengira dari blok mana kemungkaran itu berlaku.

Saban kali pilihan raya umum menyaksikan PAS menentang Umno sama ada di peringkat parlimen mahupun Dun. Satu lawan satu. Malangnya sehingga kini beberapa parti lain seperti PAN membuat pengisytiharan bahawa mereka akan bertanding di kerusi yang ditandingi oleh PAS.

Maka inilah yang akan membuatkan berlakunya 3/4 penjuru. Kenapa mereka nak salahkan PAS? PAS akan pertahankan kerusi kerusi tradisi yang ditandingi oleh PAS sejak sekian lama.

Jika benar mereka mahu satu lawan satu, sepatutnya mereka bahagi-bahagi kerusi di kalangan komponen PH tanpa ganggu kerusi PAS.

Malangnya mereka gagal selesaikan pembahagian kerusi sesama mereka, mereka nak masuk bertanding di kawasan PAS bertanding, kemudian mengisytiharkan bahawa PASlah punca berlakunya 3/4 penjuru dan memberi kemenangan kepada Umno. Jenaka kelas mana Tun Mahathir lakukan ini?

Sebagai contoh saya kemukakan di sini ialah kerusi Dun Semantan. Sejak sekian lama kerusi itu ditandingi oleh PAS vs Umno. PAS menang 2 penggal di Dun Semangan. Malangnya Adunnya lari menyertai PAN.

Apapun PAS akan kembali mengambil Dun Semantan dan bertanding dalam pilihan raya akan datang untuk menentang Umno di kerusi tersebut. Sekali lagi malang berlaku, PAN dilihat berminat untuk bertanding di Dun Semantan.

Persoalannya, siapa yang membuatkan berlakunya 3 penjuru? Kenapa mereka salahkan PAS?

Tidak mungkin PAS akan menyerahkan kerusi Semantan kepada PAN atas beberapa sebab yang sangat kukuh.

Pertama, kerusi itu adalah kerusi PAS sejak sekian lama dan memenanginya sejak dua penggal yang lalu.

Kedua, PAN tidak mempunyai kekuatan dan jentera yang baik untuk menentang kekuatan Umno di Semantan.

Selayaknya nafsu besar ingin bertanding di satu-satu kerusi mestilah diselarikan dengan kekuatan dan jentera parti bagi menghadapi parti lawan. Baru nampak kejujuran berjuang. Ini tidak, hanya tahu dan mahu menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri.

Harakah Daily
22 Januari 2017

No comments:

Post a Comment