Monday, December 26, 2016

Nahas Bas Ekspres #Alisan : Apa yang perlu anda tahu


Godek punya godek, didapati syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan di KM 137.4 Lebuh Raya PLUS yang meragut 14 nyawa dan kecederaan parah penumpang tempoh hari memiliki 8 saman tertunggak.


Sementara pemandu yang turut terkorban dalam nahas itu dipercayai hanya berehat selama 3 jam sahaja. Difahamkan, mangsa yang baru bekerja selama sebulan dan memiliki rekod bersih itu pernah menyatakan hasrat untuk mencari kerja lain. Kejadian itu turut meragut nyawa anaknya yang baru berusia 1 tahun lebih.

Jadi timbul persoalan, adakah syarikat bas seperti Alisan ini hanya mementingkan keuntungan berbanding kebajikan pekerja dan keselamatan penumpang?

Memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, pengendali syarikat bas seharusnya mengkaji semula gaji yang diberikan kepada para pemandu mereka.

Ini wajar kerana pemandu bas ekspres tiada pilihan selain mengejar komisen yang diberikan. Bagi penulis, tindakan syarikat bas yang 'kedekut' (kurang pemandu) adalah sesuatu yang perlu dihentikan.

Sementara tindakan SPAD yang menggantung serta merta Lesen Pengendali Goldstar Express (M) Sdn Bhd bersama kesemua bas di bawah pengendali itu, bagi menjalankan siasatan di dalam kejadian tragedi kemalangan bas ekspres Alisan Golden Coach tempoh hari merupakan keputusan tepat dan dipuji ramai pihak.

Dalam perkembangan sama, SPAD dalam kenyataannya pada 24 Disember lalu memberi jaminan bahawa siasatan yang mendalam akan dijalankan ke atas tragedi tersebut.

SPAD telah menggantung operasi syarikat bas terlibat sehingga siasatan dilengkapkan atas sebab-sebab keselamatan penumpang dan bagi membantu siasatan agensi-agensi yang terlibat.

Siasatan sedang diketuai oleh MIROS, manakala SPAD akan menyiasat perlanggaran syarat-syarat Kod Amalan Keselamatan Industri (SPAD ICOP).

Keselamatan penumpang merupakan keutamaan terpenting dan di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali SPAD, semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi di dalam mengendalikan kenderaan mereka.

SPAD tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan ingin memberikan peringatan keras bahawa pengendali yang gagal mematuhi keperluan keselamatan akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan-peraturan.

Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan Lesen Pengendali dan permit pengendali yang didapati telah melanggar keperluan keselamatan yang wajib dipatuhi di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali.

Al-Fatihah dan takziah

1 comment:

  1. Saya pernah naik ekspress Alison antara kol 12.30 tgh malam dengan 1 pagi. Dulu Bas ekspress Alison warna cokelat muda. Sekarang dah jadi warna mining. Memang pemandu dia bawa Bas tersangat laju di Jalan raya

    ReplyDelete