AdSense

Sunday, December 25, 2016

Nahas bas ekspres : Pandang serius dan pastikan tidak berulang


Kita terutama sekali ahli keluarga mangsa dalam nahas bas ekspres semalam masih lagi terkejut dan bersedih dengan kemalangan yang berlaku.

Sementara pengamal media cetak dan elektronik pula sedang sibuk mendapatkan laporan terkini berhubung nahas termasuk menemubual ahli keluarga mangsa.

Apa yang pasti, setiap mangsa mempunyai kisah yang tersendiri. Ada yang berdarah manis (bakal melangsungkan perkahwinan), bercadang untuk menukar pekerjaan sebagai pemandu bas dan sebagainya.

Tragedi itu sudahpun berlaku dan tiada siapa mampu mengubahnya. Apa yang diperlukan ialah memberi perhatian untuk masa hadapan.

Kementerian Pengangkutan dalam siaran medianya semalam menegaskan bahawa pihaknya memandang serius tragedi kemalangan bas ekspres yang telah mengorbankan 14 nyawa itu.

Memetik kenyataan Menterinya, Dato' Sri Liow Tiong Lai, para pegawai dari MIROS, JPJ dan JKJR telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dari sudut keselamatan jalan raya bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Hasil daripada siasatan yang mendalam ini akan digunapakai oleh pihak kementerian untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan dari semua sudut bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Pihak MIROS dengan diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Professor Dr. Wong Shaw Voon juga dilaporkan sedang bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengumpul data di kawasan kemalangan.

MIROS dan SPAD juga akan bekerjasama untuk mengaudit syarikat pengendali yang berkenaan. Maklumat awal daripada pihak polis juga akan dianalisis bagi mengenalpasti punca kejadian. Hasil siasatan dijangka akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

Pada masa yang sama, masyarakat diharap tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi sebelum hasil siasatan penuh diperolehi. Hormati perasaan keluarga mangsa yang terlibat yang pasti sedang bersedih. Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Para pengguna jalan raya yang lain juga diseru supaya mengambil pengajaran daripada kejadian ini supaya tiada lagi nyawa yang terkorban di musim perayaan ini.

Rancang perjalanan anda, pastikan keadaan kenderaan dalam keadaan yang baik dan paling penting pemandu adalah sihat dan sesuai untuk memandu.

Patuhi peraturan jalan raya dan hormati hak pengguna jalan raya yang lain semasa memandu kerana nyawa setiap manusia itu sangat berharga.

Al-Fatihah dan takziah.

No comments:

Post a Comment