Tuesday, December 27, 2016

Kuasa penumpang buat pemandu dan syarikat bas kecut perut!


Syabas dan tahniah buat pengguna dan penumpang yang bertindak berani merakamkan kelakuan pemandu yang memandu sambil lewa.

Di dalam video yang dirakamkan pengadu, pemandu dilihat sedang syok menghisap rokok. Tidak cukup dengan itu, pemandu yang tidak cakna pada penumpang itu turut dilihat menggunakan telefon bimbit ketika sedang bertugas!


Pihak yang cukup memandang berat soal keselamatan penumpang, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak duduk diam....

SPAD dalam kenyataannya hari ini memberitahu bahawa siasatan telahpun bermula.

"Setelah menghubungi pihak-pihak yang terlibat semalam, Pegawai Penguatkuasa SPAD telah bertemu pengarah syarikat Aerosystem Tour & Travel (M) Sdn Bhd yang mengendalikan bas Mayang Sari tersebut dan pemandu yang terlibat pada jam 9.30 pagi hari ini bagi mengambil keterangan mereka dan mengesahkan maklumat seperti mana yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang.

"SPAD juga telah bertemu pengadu pada 4.30 petang hari ini bagi merakamkan keterangan rasmi.  Rakaman video dan gambar yang diterima akan digunakan sebagai bahan bukti di dalam siasatan."

Untuk makluman pembaca, sekiranya siasatan mengesahkan bahawa individu terbabit telah membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain di bawah Seksyen 202, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), pemandu tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Jika didapati bersalah kerana merokok di dalam kenderaan pengangkutan awam darat, pemandu boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 203 APAD, di mana hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam masa sama, pengendali boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22 dan 23 APAD atas kesalahan mengingkari syarat-syarat lesen mengenai keselamatan, yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.

SPAD juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang juga sedang menyiasat kes ini di bawah bidangkuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing.

Lesen Pengendali SPAD mewajibkan pengendali bas untuk mematuhi keperluan di dalam Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP). Pengauditan berkala dijalankan bagi memastikan pematuhanan terhadap ICOP. SPAD ingin menekankan kepada pengendali dan pemandu yang didapati bersalah kerana melanggar syarat-syarat Lesen Pengendali, bahawa Suruhanjaya akan mengambil tindakan yang paling maksima yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Orang ramai yang telah mengalami atau menyaksikan perlakuan pemanduan berbahaya oleh pihak pengendali pengangkutan awam darat digesa membuat laporan melalui saluran aduan SPAD seperti hotline kami di 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD. SPAD memerlukan nama dan nombor telefon pengadu, tarikh, masa, tempat kejadian dan maklumat perjalanan (seperti gambar tiket daripada syarikat bas). Sebarang gambar atau rakaman video yang telah diambil pengadu dapat membantu SPAD di dalam menjalankan siasatan.

Mudahan-mudahan kejadian ini menjadi iktibar buat semua pihak terutama sekali pemandu dan pengendali bas. Sedarlah bahawa anda bukan sahaja diperhatikan oleh pihak SPAD tetapi juga pengguna atau penumpang. Paling penting, kesedaran tentang pentingnya keselamatan penumpang wajar diletakkan pada paras tertinggi.

1 comment:

  1. Ringannya hukuman!!!
    WTF! Humban je berok2 sial masuk penjara.

    ReplyDelete