AdSense

Monday, October 24, 2016

#Bajet2017 : Bukti kerajaan bersungguh soal pengangkutan awam


Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan negara, begitu banyak penambahbaikan dalam sistem dan fizikal pengangkutan awam di Malaysia.

Tahun lepas dalam Bajet 2016, Najib mengumumkan antaranya peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi projek Bas Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur - Klang. Sementara RM1 bilion untuk BRT Kota Kinabalu. Manakala RM67 juta pula bagi operasi bas di kawasan luar bandar.

Bajet 2017 menyaksikan Najib dan kerajaan sekali lagi menekankan soal pengangkutan awam yang baik demi kemudahan serta keselesaan rakyat.


“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yakin bahawa peruntukan bawah Bajet 2017 untuk pengangkutan awam darat penting dalam usaha-usaha Suruhanjaya untuk mencapai sasaran perkongsian mod sebanyak 40% di kawasan dalam bandar pada tahun 2030,”

Demkian petikan daripada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah sejurus mendengar ucapan Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.

Dalam pembentangan itu, Najib mengumumkan peruntukkan sejumlah RM60 juta bagi membantu penerima permit teksi individu berkelayakan yang keluar daripada sistem pajak untuk membeli kenderaan baru dengan penerimaan geran RM5,000.

Bagi SPAD, ia mencerminkan komitmen Kerajaan untuk membangunkan taraf industri ini di bawah Program Transformasi Industri Teksi. Tambahan pula, Kerajaan telah mengumumkan perkenalan jaringan keselamatan melalui skema PERKESO bagi pemandu teksi yang layak.

Selain itu, kerajaan juga komited dalam merealisasikan projek-projek yang berwawasan seperti Penyambungan Laluan bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang. Ini termasuk projek MRT Sungai Buloh – Kajang yang bakal beroperasi. Ia sekaligus dapat mempertingkatkan mobiliti dan mengurangkan kesesakan di kawasan Greater Kuala Lumpur / Lembah Klang (GKL/KV).

Di luar kawasan Lembah Klang, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi pemulihan laluan Pantai Timur yang telah musnah akibat banjir kilat pada tahun 2014. Ini akan memulihkan kesalinghubungan bagi kawasan luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan rel.

Pengenalan 19 set tren ETS baru yang akan beroperasi bagi laluan Johor Bahru – Padang Besar akan mempertingkatkan frekuensi perkhidmatan serta kapasiti bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan ini yang kian berkembang pesat.

Dalam masa sama SPAD turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa Kerajaan akan meneruskan projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) dengan peruntukan RM55 bilion.

Projek ECRL ini merangkumi jarak 600km akan menghubungkan kawasan GKL/KV dengan bandar-bandar di Pantai Timur, termasuk Bentong, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru dan Tumpat.

Seiring dengan itu projek ini juga akan membolehkan pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran serta membawa faedah dan perubahan kepada rakyat.

Secara keseluruhannya, Bajet 2017 ini dilihat cukup relevan dan benar-benar membela rakyat.

No comments:

Post a Comment