AdSense

Wednesday, July 27, 2016

#SuasaAirlines - Tergesa-gesa hingga langgar undang-undang?


Isu membabitkan Suasa Airlines sepatutnya tidak boleh kita pandang ringan kerana ia melibatkan faktor keselamatan. (Suara Lensa belum berminat untuk menulis tentang status peribadi / kekayaan ataupun jenis perniagaan yang dijalankan oleh pemilik syarikat penerbangan ini)


KESELAMATAN DAN UNDANG-UNDANG

Kenapa syarikat penerbangan ini begitu tergesa-gesa 'menerbangkan' pesawatnya sedangkan mereka masih belum memiliki permit sah?


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa Suasa Airlines telah melanggar undang-undang apabila mereka bertindak membawa penumpang ketika 'penerbangan pertunjukkan' (demonstrasi) baru-baru ini.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi itu secara tepatnya telah melanggar akta penerbangan awam.

Suasa Airlines tidak boleh mengendalikan penerbangan komersial kerana masih belum memiliki Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Pada 25 Julai 2016, Mavcom berkata pihaknya sedang menyiasat Suasa Airlines yang beroperasi secara komersil tanpa permit, dan pernah menolak permohonan syarikat itu mengendalikan penerbangan komersil Kuala Lumpur-Langkawi pada 22 Julai lalu.

Jadi tindakan yang kelihatan terburu-buru syarikat ini pastinya berupaya mengundang masalah kepada ramai pihak. Siapa akan bertanggungjawab sekiranya kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penumpang dalam 'penerbangan pertunjukkan' tempoh hari?


Soal keselamatan pastinya tidak boleh dipandang ringan. Pihak syarikat sepatutnya lebih peka dan memahami perkara ini, bukannya hanya mengutamakan keuntungan perniagaan semata-mata!

Sudahlah wujud segelintir pihak yang amat suka menuding jari kepada kerajaan dalam segala hal. Janganlah kerana isu ini, kerajaan dipersalahkan kerana tidak memandang berat soal keselamatan awam.

Keselamatan ini bukan terletak pada bahu kerajaan sendirian tetapi pihak-pihak lain termasuk syarikat-syarikat juga perlu memainkan peranan sama.

Sudah lama negara Merdeka. Prinsip dalam Rukun Negara ke 4 juga sudah diperkenalkan iaitu Kedaulatan Undang-Undang. Jadi, apa yang susah sangat untuk mematuhinya?

No comments:

Post a Comment