AdSense

Friday, May 20, 2016

Hab Halal dan “ASEAN International Eco-City”


Penduduk Islam merupakan populasi terbesar di Shandong, China. Lantas itu satu perancangan dirangka untuk membina satu pusat Hab Halal (Halal Hub) yang bakal menjadi sebahagian besar dalam projek mega “ASEAN International Eco-City”.


Memandangkan jumlah umat Islam di negara China lebih besar berbanding Malaysia, maka pasaran halal di negara itu mempunyai potensi yang amat besar.  ASEAN International Eco-City merupakan satu projek pembangunan mega yang bakal dilaksanakan di Daerah QiHe, Bandar Satelit JiNan, Shandong, China.

Projek tersebut merupakan rancangan pembangunan terbaru tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Lim Gait Tong, yang telah melabur sebanyak RM9 billion dalam projek tersebut yang menampakkan semakin banyak konglomerat dari negara ASEAN memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan utara negara China.

Untuk makluman, Lim Gait Tong adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farlim Malaysia dan merupakan Presiden Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (HuaZong).  
Sementara Pengurus Besar Kumpulan Farlim (China) Lim Chuan Boon mengatakan bahawa projek mega ini akan dijalankan di kawasan seluas 10 ribu kilometre persegi. Konsep binaan projek ini akan berlandaskan kepada budaya-budaya 10 negara ASEAN dan merupakan projek pembangunan bersepadu yang dapat memenuhi keperluan orang ramai dari kesemua lapisan masyarakat.


 “Fasiliti yang kami cadangkan dalam projek Eco-City ini termasuklah Pusat Antarabangsa Kebudayaan Negara ASEAN, hotel resort spa bertaraf lima bintang, pusat persidangan, kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan, pusat penjagaan warga emas, zon perdagangan bersepadu ASEAN, perumahan kondominium mewah serta taman sukan dan rekreasi.

“Bandar ini bakal menjadi projek pembangunan yang menggabungkan perumahan, hiburan, rekreasi dan penjagaan kesihatan di bawah satu bumbung.”  

Lim Chuan Boon berkata demikian semasa menerima kunjungan daripada rombongan perdagangan perusahaan kecil sederhana (PKS) Malaysia ke China yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

Menyentuh tentang hab halal, "Jendela ASEAN" dirangka sebagai satu cadangan projek permulaan dengan keluasan 17.3 hektar dan jumlah kawasan pembinaan lebih daripada 470,000 meter persegi. Jumlah pelaburan untuk projek permulaan ini dianggarkan sebanyak RM1.5 billion. 

Hab Halal di sini akan menjadi pusat pensijilan halal untuk produk makanan dan minuman yang dihasilkan oleh mana-mana pengilang dan pengusaha di sebelah utara negara China. Pusat ini juga akan menjadi pusat pengumpul produk-produk halal yang dihasilkan sama ada di negara-negara ASEAN ataupun di China, sebelum dihantar ke pembeli dari seluruh dunia. 

No comments:

Post a Comment