AdSense

Sunday, March 27, 2016

Transformasi PLKN2.0 - Limpahan manfaat menanti peserta


Jika di negara Jerman, rakyatnya begitu mengagungkan pemerintahan Nazi. Di Jepun, terkenal dengan budaya yang penuh berdisiplin. Di Thailand pula, soal kepatuhan dan taat setia kepada raja mereka jangan sesekali dijolok sembarangan.


Sedikit sebanyak, kita sudah menyentuh tentang kelahiran sesebuah masyarakat. Bagaimana satu-satu masyarakat itu dapat dibentuk secara positif?

Kata-kata Melayu klasik pernah menyebut, 'meluntur buluh biarlah dari rebungnya'. Ia bermaksud, mendidik perlu bermula sedari kecil. Bagaimana mahu melahirkan masyarakat yang positif, ia bermula dengan kelahiran barisan pelapis mudanya.

Paling penting, kesediaan pelapis ini berdepan dengan cabaran-cabaran baharu mengikut peredaran semasa.

Hari ini, kerajaan menerusi pemerintahan Barisan Nasional (BN) kelihatan bersungguh-sungguh dalam usahanya melahirkan pelapis muda iaitu mereka yang bakal memimpin negara kelak menerusi transformasi pembangunan modal insan.

Sebut sahaja pembangunan modal insan, sudah tentu kita terlintas akan program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini sudahpun melepasi usia 10 tahun perlaksanaanya.

Pelbagai cabaran ketika berlangsungnya program jati diri anak muda ini bahkan turut dijadikan bahan 'belasahan' para pengkritik dan kumpulan anti-kerajaan. Namun usia 10 tahun membuktikan bahawa PLKN sebagai program yang terus kekal relevan dan mendapat tempat dikalangan masyarakat secara keseluruhannya.

Maka itu Transformasi PLKN2.0 diperkenalkan bagi memenuhi keperluan negara bukan sahaja melibatkan pengukuhan jati diri tetapi juga tentang pemantapan ekonomi global. Transformasi PLKN2.0 juga menyentuh tentang beberapa perubahan termasuk berkaitan perlaksanaan modul dan hala tuju para pelatih sejurus tamat kursus.

Untuk makluman pembaca, semalam, 26 Mac sehingga 28 Mac 2016 ini merupakan tarikh kemasukan para pelatih PLKN2.0 bagi Siri 13 Tahun 2016.

Menurut Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataanya memberitahu, kemasukan tersebut melibatkan anggaran 20,000 orang bakal pelatih dan akan berakhir pada 24 Mei 2016.

Pelatih yang terpilih menyertai PLKN2.0 ini akan merasai pengalaman baharu dalam Program Pembelajaran Bersepadu selama 8 minggu. Mereka juga diresapi dengan semangat Cinta Negara, Perpaduan dan Kesukarelaan melalui aktiviti-aktiviti kerohanian, Service Learning, i-Upgrade, Tech+Talk, Malaysiaku, Fit4Life dan Be Safe, Be Alert.


Sementara Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, program myFuture pula merupakan antara pengisian dalam transformasi PLKN2.0 yang menawarkan pendedahan melalui bidang-bidang kemahiran di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).


"Ini adalah bagi menyediakan masa depan yang lebih baik kepada mereka (pelatih) di 400 pusat ILKA terpilih. Pelatih berpeluang melanjutkan pelajaran mereka dalam pelbagai jurusan dari peringkat Sijil sehingga Diploma sebaik sahaja selesai menamatkan sesi PLKN Fasa 1 pada 24 Mei nanti."

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Kemasukan Pelatih PLKN2.0 Siri 13 Tahun 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam.

Nah! Segala kemudahan dan platform sedia dimanfaatkan oleh pelapis muda yang bakal-bakal menjadi pemimpin negara kelak. Insya Allah.

Buat adik-adik yang berjaya terpilih menyertai PLKN2.0, Suara Lensa ingin mengucapkan tahniah dan gunalah peluang yang ada ini sebaik mungkin demi manfaat di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment