AdSense

Thursday, February 18, 2016

FELDA, FGV beri nafas baharu kepada bekas penagih

Gambar sekadar hiasan

Bermula pertengahan Mac ini seramai 1,000 bekas pelatih Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) terpilih ditawarkan untuk bekerja dalam sektor perladangan di 20 kawasan ladang Felda dan Felda Global Venture (FGV).


Bekas penagih yang terpilih akan ditawarkan untuk bekerja dalam sektor tersebut untuk tempoh masa dua tahun dan akan ditempatkan secara berperingkat di ladang menerusi Program Minyak Sawit Untuk Kehidupan (OPAL).

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, pemilihan peserta akan bermula pada bulan ini menerusi program jelajah ke Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) seluruh negara.

Razali Ibrahim
Program OPAL ini diharap dalam memberi peluang kedua kepada bekas penagih dadah untuk memulakan kehidupan baru dan sekaligus membantu mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Kumpulan pertama bekas pelatih AADK ini akan melibatkan 50 orang dan akan ditempatkan di ladang Felda Serting, Negeri Sembilan dengan bayaran gaji minima RM900, selain diberi kemudahan asrama dan pengangkutan.

Bekas pelatih yang dipilih akan turut mengikuti program kerohanian, motivasi dan kaunseling bagi menyediakan peserta untuk berdikari dalam masyarakat sepanjang tempoh tersebut.

Tahniah diucapkan kepada pihak Felda dan FGV kerana berani memberi peluang kepada golongan yang digelar bekas penagih untuk menyumbangkan tenaga dalam sektor perladangan.

Diharapkan pihak lain juga akan 'buka mata' dengan mengikut jejak langkah yang dilakukan Felda dan FGV.

No comments:

Post a Comment