AdSense

Thursday, September 24, 2015

Arak di Menara FELDA : Ini penjelasannya...


Pertamanya, syabas dan tahniah buat pihak FELDA apabila bertindak pantas dalam berdepan satu-satu isu.

Pada 21 September lalu, badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) telah menghantar memorandum bantahan terhadap kegiatan penjualan alkohol di sebuah restoran - dalam bangunan Menara FELDA.


Secara tepatnya, penjualan arak di restoran Brolly yang menghuni bangunan di Retail 1. Kelihatan FELDA mengambil langkah proaktif dengan tampil memberi penjelasan.

Sebelum itu, orang ramai perlu jelas disini bahawa restoran tersebut adalah BUKAN MILIK FELDA!

Berhubung isu ini, FELDA dengan segera mendapatkan pengesahan daripada pihak pengurusan Naza TTDI. Ini berikutan Retail 1 telah dipajakkan kepada organisasi tersebut.

Menurut pihak pengurusan Naza TTDI, restoran Brolly baharu sahaja beroperasi pada 31 Ogos yang lalu dan menjalankan perniagaan makanan laut.

Namun, dalam pemerhatian dan maklumat yang diperolehi mendapati restoran itu turut menghidangkan minuman keras.


Sehubungan dengan itu, FELDA telah menghantar surat bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Naza TTDI dengan menegaskan bahawa status Menara FELDA adalah sebagai bangunan yang diduduki oleh badan berkanun.

Maka ia perlulah dihormati.

Dalam masa sama, FELDA juga akan mendapatkan penjelasan daripada pihak yang memberikan lesen penjualan arak di premis berkenaan. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pasti ada penjelasan mereka.

Diharapkan agar isu ini dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelak kekeliruan masyarakat terutamanya peneroka yang juga merupakan pemilik menara FELDA - baik diatas kertas mahupun atas nama.



No comments:

Post a Comment