AdSense

Wednesday, September 23, 2015

SPAD jalan Ops SERKAP demi melindungi orang ramai sempena Aidiladha


Sekitar jam 5 petang tadi, satu operasi memantau jualan tiket dan perjalanan bas sempena musim perayaan dijalankan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan dinamakan sebagai Ops SERKAP.

Operasi yang dijalankan di sekitar Terminal Pudu Sentral ini turut disertai Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Dato' Paduka Che Hasni Che Ahmad.




Selain bertindak keatas kegiatan ulat tiket, SPAD juga menjalankan operasi membasmi teksi yang gagal menggunakan meter dan aktiviti kereta sapu yang menggunakan aplikasi Grab.

Hari ini sahaja, sebanyak 6 kes berjaya dikesan :

2 x Kes Memujuk dan Mendesak [bawah Sek 205 APAD 2010]

2 x Kes Mengendalikan Suatu Perkhidmatan Awam Tanpa Lesen Pengendali (Kereta Sapu) [bawah Sek 16 APAD 2010]

2 x Kes Teksi Tidak Guna Meter [bawah Sek 22 APAD 2010]

Sementara sebanyak 4 kenderaan disita membabitkan 2 buah teksi, Mercedes Benz (1) dan Toyota Camry (1). Kesemua kenderaan ini disita bagi menjalankan siasatan susulan berkaitan kesalahan pemandunya.

Untuk makluman pembaca, SPAD sebelum telahpun menjalankan Ops Khas Sempena Sambutan Hari Raya Haji bermula pada 21 September 2015 dan dijangka berakhir 28 September 2015 ini.

Pada peringkat awal ops tersebut dijalankan iaitu pada 21 dan 22 September 2015, sebanyak 54 kesalahan direkodkan membabitkan bas, lori dan teksi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Justeru itu, orang ramai terutamanya pemandu kenderaan persendirian atau pemandu teksi yang memasang hasrat untuk melakukan kesalahan berhubungkait pengangkutan awam, diingatkan supaya membatalkan hasrat mereka. Ini adalah kerana hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan itu sudah sedia menanti.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya, dikenakan terhadap kesalahan dibawah Seksyen 22.

Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya pula akan dikenakan dibawah Seksyen 205.

Manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Apabila sudah mengetahui hukuman-hukuman ini, masih lagi berdegil? 

Syabas dan tahniah buat pasukan penguatkuasa SPAD yang sentiasa mengerah keringat bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Apa yang paling utama, orang awam atau pengguna terus terpelihara daripada jenayah-jenayah yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

No comments:

Post a Comment