AdSense

Sunday, September 23, 2012

Hati-hati dengan permainan politik dunia!


Pujian melangit Ban Ki Moon terhadap Suu Kyi sebagai lambang "komitmen ke arah perdamaian, keselamatan dan hak asasi" tidak lebih sekadar gimik dan kosmetik untuk membentuk aktivis tersebut sebagai satu lagi pemimpin boneka di Myanmar. 

Rangka lawatan 17 hari Suu Kyi ke Amerika Syarikat lebih menjurus kepada persoalan acuan bagaimanakah yang mahu dibentuk kuasa besar ini dalam mengembangkan pengaruh di Asia Tenggara. Dunia kini sedang dihidangkan media barat dengan perjalanan 'demokrasi' Suu Kyi dari Washington ke Kentucky hinggalah ke destinasi terakhir beliau di Fort Wayne, Indiana dalam mempromosikan jelajahdemokrasi dan hak asasi di Myanmar.

Awal minggu ini, aktivis dan ahli politik Myanmar ini dianugerahkan'U.S. Congressional Gold Medal' oleh Presiden Barack Obama. Sewajarnya layakkah Suu Kyi diberi anugerah tertinggi Kongres Amerika Syarikat jika beliau masih terus membisu dan mendiamkan diri dari menjawab persoalan krisis penindasan hak asasi etnik Rohinya yang majoritinya beragama Islam di negaranya sendiri. 

Krisis penindasan dan pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik-etnik minoriti di Myanmar telah berlaku hampir 40 tahun lamanya. Pembersihan etnik oleh junta Myanmar terhadap penduduk Islam Rohingya telah mengakibatkan jutaan lari meninggalkan negara tersebut dan menetap sebagai pelarian di Bangladesh, Thailand, Malaysia, Arab Saudi, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu.  Justeru penulis membangkitkan persoalan mengapa Suu Kyi tidak serius memperjuangkan hak asasi manusia etnik-etnik minoriti di Myanmar, terutamanya penduduk Islam Rohingya.

Dan selama 40 tahun berlalu juga penduduk Islam Rohingya tidak pernah mendapat tempat di hati Suu Kyi yang kekal fanatik sama seperti penganut Buddha dan junta di Myanmar yang bersifat taksub dan perkauman. Sekatan perdagangan yang dianjurkan oleh Kongres Amerika terhadap Myanmar tidak membantu malah hanya memburukkan lagi keadaan penduduk Islam Rohingya dan minoriti lain di negara itu. Sekatan ini tidak akan membawa sebarang kesan positif malah tidak akan menjamin pencabulan hak asasi minoriti di Myanmar akan menikmati kerakyatan, kesaksamaan hak dan keistimewaan yang sepatutnya dimiliki. 

Kuasa Barat hanya melakukan gimik dan kosmetik dalam meletakkan Suu Kyi sebagai "simbol global" memandangkan aktivis dan ahli politik pembangkang itu jelas adalah fanatik agama Buddha yang telah sekian lama melakukan pembersihan etnik terhadap golongan minoriti di Myanmar.  Rasional rangka lawatan dan penganugerahan 'U.S. Congressional Gold Medal' Suu Kyi tidak lebih dari sekadar usaha Amerika untuk meletakkan pemimpin politik di balik tadbir sebelum suntikan dana diperuntukkan atas nama pembaharuan, demokrasi dan hak asasi manusia. 

Suu Kyi juga adalah penerima terakhir anugerah Chatham House Prize 2011 dan beliau mendapat sokongan penuh daripada pertubuhan ‘Freedom Now’. Pertubuhan ini turut menerima bantuan kewangan darpada Moriah Fund, Lantos Foundation, Real Networks Foundation (yang membiayai pertubuhan Democracy Now) dan Charles Bronfman Prize.

Latarbelakang sejarah aktivis dan ahli politik pembangkang Myanmar ini turut menunjukkan rekod beliau pernah bertugas dengan PBB di New York dan menerima Ijazah Kedoktoran daripada University of London sebelum pulang ke Myanmar untuk memimpin pergerakan pro-demokrasi sehinggalah beliau dipenjarakan. 

Apakah yang boleh diharapkan dari Suu Kyi jika aktivis dan ahli politik pembangkang Myanmar ini tidak pernah menyuarakan pandangannya terhadap penindasan, pembersihan dan pencabulan hak asasi etnik Rohingya beragama Islam, malahan etnik-etnik minoriti yang lain.

Masih adakah harapan yang boleh diletakkan di bahu Aung San Suu Kyi walhal penduduk Islam Rohingya dan minoriti etnik yang lain tidak mendapat tempat jika berlainan keturunan, latar belakang etnik dan agama.

Sumber : KLPOS

No comments:

Post a Comment