AdSense
Saturday, August 25, 2012
RM3 Juta untuk penduduk Segambut!
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina sebuah longkang besar dari SPPK Segambut ke Sungai Gombak bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Segambut sejak beberapa tahun lalu.Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya akan menyiapkan reka bentuk projek yang bernilai RM3 juta itu dalam masa dua bulan ini.
Katanya, projek tersebut akan dijalankan segera supaya masalah banjir kilat di kawasan Segambut yang telah menyebabkan kerugian yang banyak terhadap penduduk dapat diatasi."Projek ini dijangka siap dalam masa sembilan bulan dan diharapkan mampu membantu mengatasi masalah banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat kawasan banjir di Kampung Segambut Bahagia, Segambut, di sini hari ini.Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Sosio ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.Selasa lalu, hujan lebat di ibu negara telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan terutamanya di sekitar Segambut.
Ahmad Phesal yang dukacita dengan kejadian tersebut berkata, pihaknya akan membuat bancian kerugian yang dialami penduduk dan pampasan yang bersesuaian akan diberikan.Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pembinaan jejambat dari Jalan Segambut ke Segambut Bahagia yang terhenti sebelum ini disebabkan masalah utiliti bawah tanah akan diteruskan segera kerana telah menyebabkan saliran longkang tersumbat.
"Masalah tentang utiliti sudah pun selesai dan jejambat tersebut akan disiapkan dengan segera."Selain itu, Kolam Tadahan Kampung Benteng yang dijangka siap pada Mac tahun depan juga diharapkan dapat membantu mengatasi masalah banjir di sini," jelasnya.
Sementara itu, Mhd. Amin Nordin memberitahu bancian awal pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 23 keluarga terlibat dalam kejadian banjir itu, termasuk warga asing."Selepas selesai dikemas kini nanti, bantuan akan diberikan kepada mangsa dari kalangan rakyat tempatan sahaja," katanya.
SUMBER : UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment