Bangkok: Seorang tukang kimpal dari China mengaku membunuh wanita transgender Thailand, Woranun Pannacha di Pattaya, dan memotong tubuh mangsa untuk mengeluarkan bahagian-bahagian tertentu kerana ingin 'bermain' dengan mayat berkenaan, lapor media negara itu.
Memetik laporan Khaosod English itu, The Straits Times melaporkan suspek yang dikenali sebagai Fu Tongyuen, 42, dari wilayah Hubei, berkata, dia membunuh Woranun, 25, di bilik apartmennya yang disewa di tengah Pattaya.
Fu memberitahu polis bahawa dia bertemu dengan Woranun pada petang 25 April di sebuah pantai di Pattaya Selatan.
Pada masa itu, dia tidak mengetahui bahawa Woranun adalah seorang transgender.
Pada 9 malam hari sama, Woranun menghubungi Fu dan mereka bersetuju untuk bertemu di apartmennya, di mana Fu membayar 8,000 baht (kira-kira RM1,039) untuk hubungan seks.
Namun, Woranun menarik diri dan enggan melakukan hubungan seks dengan Fu, menyebabkan Fu meminta pulangan 50 peratus bayaran.
Ketika Woranun menolak, pertengkaran berlaku. Fu mendakwa dia dicakar pada muka dan disepak keluar dari katil.
Fu yang marah kembali ke katil, duduk di atas tubuh Woranun dan mencekiknya sehingga tubuhnya terkulai.
Kemudian, Fu menarik tubuh Woranun ke bilik mandi dan menggunakan gunting untuk memotong tubuh mangsa.
Menceritakan kepada penyiasat, Fu berkata, dia ingin 'bermain' dengan mayat lalu memotong payudara Woranun dan mengeluarkan implan silikon transgender itu.
Fu juga memotong tubuh dari leher ke kawasan genital dan mengeluarkan jantung Woranun.
Selepas itu, Fu mencuci jasad Woranun dan membersihkan darah di dalam bilik, sebelum meninggalkan mayat itu di bilik mandi dan menyambung tidur.
Beberapa jam kemudian, Fu bangun dan menempah tiket penerbangan ke China, lalu menaiki teksi motosikal dan seterusnya mengambil bas ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.
Fu ditangkap oleh polis di lapangan terbang pada 26 April lalu.
Ketua Polis Pattaya, Anek Srathongyoo berkata, Fu mengaku melakukan jenayah itu kerana bukti yang sangat kukuh, lapor Bangkok Post.
Anek berkata, salah satu paru-paru Woranun hilang, tetapi Fu mendakwa dia tidak menyentuhnya.
Polis masih meneruskan siasatan kes berkenaan.
Disiarkan pada: April 28, 2025 @ 12:06pm
FB Pemilik Akaun
No comments:
Post a Comment