AdSense

Saturday, December 9, 2023

Hentikan perbalahan, fokus kembalikan zaman kegemilangan BN



1. Cukup-cukuplah kita dalam komponen Barisan Nasional (BN) serang-menyerang sesama sendiri. Tiada gunanya kita saling salah menyalahkan sesama kita kerana ia langsung tidak membawa manfaat kepada BN.


2. Marilah kita bermaaf-maafan sesama kita, 'buang yang keruh dan ambil yang jernih'. Tidak perlu lagi dicari siapa yang mula dan siapa yang balas. Apa yang sudah berlaku, biarkan berlalu menjadi sejarah dan menjadi pengajaran kepada kita semua.


3. Segala kekurangan dan kelemahan kita perbaiki bersama. Dalam politik yang serba mencabar dan dinamik dewasa ini, memerlukan kita semua bersikap profesional serta bertanggungjawab.


4. MCA dan UMNO telah pun melalui perjalanan yang cukup panjang. Waktu suka dan duka kita harungi secara bersama-sama. Bukan untuk tempoh sehari dua, tetapi sejak berdekad lamanya, iaitu bermula 9 Januari 1952 di mana kita bekerjasama dalam pilihan raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada ketika itu.


5. Daripada UMNO-MCA, MIC kemudiannya bersama kita pada tahun 1954 dalam gabungan yang dinamakan Parti Perikatan. Memetik apa yang tertera dalam laman web Arkib Negara, 'Parti Perikatan Simbol Pakatan Antara Kaum', menjadi asas pentingnya gabungan politik kita yang kini dinamakan Barisan Nasional.


http://www.arkib.gov.my/web/guest/parti-perikatan-simbol-pakatan-antara-kaum1


6. Biarpun tumbang pada tahun 2018 setelah lebih 6 dekad di tampuk kuasa, namun kita menerimanya dengan hati terbuka. Malah kita meraikan proses demokrasi, tenang menerima keputusan pengundi dan kita tidak sesekali menghasut rakyat turun ke jalan raya untuk melakukan protes, mahupun mempersoalkan kuasa rakyat. Walaupun kita semua sedar, sentimen penolakan, hasutan dan fitnah cukup dahsyat dimainkan pada ketika itu.


7. Sifat kasih dan sayang yang amat tinggi kepada rakyat serta negara sebagaimana ditunjukkan oleh pemimpin kita pada ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, perlu kita contohi. Ketokohan serta kepimpinan beliau bukan sahaja perlu disanjungi, tetapi diikuti terutamanya oleh kita generasi muda dan pelapis BN hari ini.


8. Sebelum kita tumbang pada tahun 2018, kita telah menawarkan manifesto bertajuk "Bersama BN Hebatkan Negaraku". Benar, sekarang bukan masa berkempen pilihan raya. Tetapi apa yang hendak saya sampaikan, kita dalam BN perlu kembali merapatkan saf. Jika kita sendiri berpecah-belah dan saling bertikam lidah secara terbuka, bagaimana rakyat mahu kembali kepada kita dan yakin kepada kita untuk memacu serta hebatkan negara ini?


9. Maka itu, kita perlu fokus terhadap usaha mengembalikan keyakinan pengundi untuk memilih kita pada pilihan raya akan datang, bermula daripada sekarang walaupun perjalanan masih jauh. Tidak kira apa situasi politik atau sekencang mana sekalipun taufan dan gelora melanda, kapal kita yang mengibarkan panji BN ini perlu kita kemudi dengan baik secara bersama-sama. Tugas menjaga kapal BN sepanjang pelayaran ini memerlukan tanggungjawab serta peranan kita semua komponen BN. 


10. Memetik pantun Kumpulan Pantun Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 2018;


Masa berjalan bawalah tongkat,

Kalau boleh jenis semambu;

Sama sekampung teguhkan pakat,

Kalau tidak musuh berkubu.


Neow Choo Seong

Ketua Penerangan Pemuda MCA

9 Disember 2023

No comments:

Post a Comment