Adalah sesuatu yang ironi apabila rakyat yang mengundi demi janji harga petrol lebih rendah dan tol dihapuskan tidak mendapatnya tetapi akan ‘dihadiahkan’ dengan harga kereta lebih tinggi.
Ketika saya dilantik sebagai PM, harga kereta yang tinggi dan perlindungan terhadap Proton adalah antara aduan utama dan beban kepada rakyat.
Seorang wartawan kewangan turut membuat anggaran, rakyat terpaksa menanggung RM360 bilion demi Proton dan EON yang pada masa itu menjana pendapatan di atas beban rakyat sehingga EON turut memiliki bank sendiri.
Ketika pentadbiran saya sebagai PM, sekalipun saya tidak mempunyai sebarang polisi untuk menaikkan harga kereta.
Saya tahu harga kereta yang tinggi adalah satu bebanan untuk rakyat, terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah dan menengah. Mereka yang kaya mampu membeli kereta dengan tunai tetapi rakyat berpendapatan rendah dan menengah perlu mendapatkan pinjaman.
Sebuah kereta yang dijual dengan harga RM20,000 lebih mahal ekoran pelbagai cukai dan dasar akan menyebabkan pembeli yang mengambil pinjaman 9 tahun pada kadar faedah 4 peratus, membayar RM28,000 pada akhir pinjaman mereka.
Harga kereta lebih tinggi juga turut menyebabkan kos selenggara dan perlindungan insurans setiap tahun yang akan menambah beban pembeli.
Saya berpendirian situasi didepani rakyat ini sebagai tidak adil kerana Rakyat ada hak untuk harga kereta lebih murah dan lengkap dengan kemudahan-kemudah moden termasuk ciri-ciri keselamatan. Pada suatu masa dahulu, ini juga pendirian Pakatan yang pernah berjanji untuk menurunkan harga kereta namun hari ini selepas mendapat kuasa mereka sudah lupa.
Bagi memperbetulkan masalah legasi ini, kerajaan saya telah menghapuskan cukai import 10 peratus bagi kereta dari Jepun dan memperkenalkan insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Kita juga menghentikan amalan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir yang memberi AP francais kepada orang tengah, dan memberikannya kepada pembuat kereta dan pengedar secara terus dan memperketatkan harga jualan bagi memastikan mereka tidak membuat untung melampau.
GST juga memainkan peranan dalam mengurangkan harga kereta ketika ia diperkenalkan di mana harga GST 6 peratus yang dikenakan adalah lebih rendah dari SST 10 peratus.
Hasilnya, harga kereta bagi kebanyakan model turun ketika pentadbiran saya malah ada model yang dijual lebih rendah berbanding 20 tahun lalu. Diiringi peningkatan pendapatan, harga kereta lebih rendah memberi peluang kepada rakyat untuk pilihan lebih banyak. Ini dapat dilihat di atas jalan raya kita hari ini di mana terdapat kepelbagaian jenis kereta di mana pada masa lalu ia didominasi oleh kereta Proton dan Perodua.
Namun saya akui bahawa janji PRU13 kita untuk pengurangan 30 peratus pada harga kereta tidak menyeluruh ke atas semua jenis kereta.
Di sebalik ada di dalam kerajaan saya pada masa itu yang menyuarakan kebimbangan bahawa harga kereta menurun dengan terlalu pantas akan memberi tekanan terhadap bank, penjual kereta terpakai dan nilai aset isi rumah; ada harga beberapa model kereta menurun 30 peratus. Secara keseluruhan, harga kereta menurun pada pelbagai peringkat.
Pada masa sama, kerajaan saya turut membina banyak projek pengangkutan awam bagi memberikan pengguna pilihan pengangkutan.
Biarpun ramai menuduh saya tidak menyokong Proton, ini hakikatnya adalah tidak benar. Harus saya nyatakan bahawa kerajaan saya telah menyediakan geran R&D sebanyak RM1.1 bilion dan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton, itupun hanya apabila mereka membuktikan mempunyai pelan mampan yang mampu dilaksanakan.
Ketika saya dilantik sebagai Perdana Menteri dan sebelum hubungan dengan Tun Mahathir menjadi renggang, kerajaan telah memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk projek kenderaan elektriknya. Melalui permintaan dibuat Dr Mahathir, satu geran RM270 juta diberikan kepada Proton pada tahun 2010 bagi menjalin satu kerjasama perniagaan dengan sebuah syarikat United Kingdom dimiliki rakannya Kamal Siddiqi, yang berpengkalan di United Kingdom bagi memajukan kereta dan lori elektrik.
Bagaimanapun, pelaburan ini gagal dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak menyalurkan lagi dana. Ini turut menyebabkan kemarahan Dr Mahathir.
Sambil memberi sokongan kepada Proton, saya berpendirian bahawa rakyat tidak seharusnya menanggung masalah Proton dan syarikat itu perlu bersaing pada keupayaan sendiri sebagaimana dilakukan Perodua. Jika Perodua mampu menjadi jenama kereta paling teratas di negara ini, tiada alasan untuk Proton untuk tidak mencapai kedudukan yang sama.
Laporan terkini bahawa Malaysia mungkin akan berpatah balik kepada polisi 1980 dan 1990an amat membimbangkan. Saya gesa kerajaan baharu untuk membuat pertimbangan sewajar-wajarnya kerana pelaksanaannya akan pasti membebankan rakyat, sekali lagi.
Malaysia adalah penandatangan kepada pelbagai perjanjian perdagangan bebas. Meningkatkan perlindungan akan turut mencetuskan tindak balas daripada negara lain. Ini akan menyebabkan harga barang lebih tinggi yang perlu dibayar rakyat Malaysia dan eksport yang kurang kompetitif daripada pelbagai industri negara ini.
Tidak seharusnya hanya beberapa pihak tertentu dan terpilih yang diberi keutamaan berbanding rakyat.
No comments:
Post a Comment