Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar tanpa kenal erti jemu mengajak rakyat terutamanya masyarakat di negeri Selangor supaya menolak kerajaan negeri yang disifatkan sebagai kerajaan carca marba pada pilihanraya umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Jelas Noh, langkah itu perlu dimulakan dengan memupuk semangat bersatu padu dikalangan masyarakat.
"Mereka (kerajaan negeri Selangor) adalah sebuah kerajaan carca marba. Dulu Pakatan Rakyat, sekarang Pakatan Harapan yang tidak dianggotai oleh PAS. Sebelum ini mereka berdepan dengan konflik menteri besar. Mereka ini asyik berpolitik yang mengakibatkan rakyat rugi."
Noh berkata demikian dalam majlis Perasmian Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) di Kuala Selangor pagi tadi. Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim, ADUN Bukit Melawati Jakiran Jacomah, ADUN Jeram Datuk Amiruddin Setro dan Ketua Pengarah KEMAS Selangor Mohd Adnan Daud.
Suara Lensa melihat keazaman tinggi yang dilakukan Noh setiap kali berjumpa rakyat diperingkat akar umbi. Sentimen menolak kerajaan yang asyik mengejar kuasa dan tunggang langgang ini sememangnya perlu diingatkan kepada rakyat setiap masa. Kadang kala rakyat malah ada juga segelintir pemimpin dikalangan parti UMNO / Barisan Nasional sendiri yang mudah terpedaya dengan persepsi negatif oleh parti lawan terutama sekali di media sosial.
PRU14 menjelang tiba... sekalipun pusingan jam masih jauh... Namun setiap pemimpin masyarakat sewajarnya 'berkempen' dalam skala yang kerap sekaligus berupaya menepis segala macam persepsi negatif yang dilemparkan kepada kerajaan persekutuan. Jangan PRU14 sudah dekat baharu nak dekati akar umbi. Pada masa itu hati rakyat mungkin sudah keras dan sukar ditembusi dek kerana terpedaya dengan persepsi negatif yang dimainkan setiap hari.
Selain daripada itu, Noh juga acap kali menyebut tentang usaha-usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat tanpa mengira samada melibatkan masyarakat bandar mahupun luarbandar. Ini dapat dibuktikan dengan pembentangan Bajet 2016 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas dengan membawa tema 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat'.
"Kerajaan sudah sediakan macam-macam kemudahan dan prasarana. Sekolah, jalanraya, bekalan air dan elektrik semua sudah ada. Masjid dan surau diperbesarkan. Tinggal lagi bagaimana kita memenuhkan jemaah di masjid dan surau. Bagaimana melahirkan modal insan. Ia umpama, kerajaan sudah sediakan joran dan terserah kepada kita bagaimana mahu mendapatkan ikannya (hasil).
"Sebab itu saya katakan tadi, jangan salahkan sesiapa jika perkara buruk berlaku kepada ahli keluarga sendiri. Kita perlu memupuk semangat modal insan bermula dari rumah. Jangan pula anak tidak kerja hendak disalahkan kepada kerajaan. Sedangkan kerajaan sudah menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang cukup banyak. Kalau hendak kata ia cerita kosong, tengoklah sendiri berapa ramai pendatang dari negara luar yang berebut-rebut bekerja di sini (Malaysia). Bukan sahaja kerja sebagai buruh tetapi juga di bidang-bidang kerjaya profesional." kata Noh.
Syabas buat Noh Omar kerana sentiasa mendampingi rakyat akar umbi tanpa menunggu hari pilihanraya. Sikap sebegini pastinya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO / BN yang lain. Cuma ia perlu diadakan secara kerap supaya dapat menepis cerita-cerita persepsi oleh parti lawan. Kini sudah sampai masa untuk bersatu padu melawan parti carca marba - Pakatan Harapan!
No comments:
Post a Comment