AdSense

Friday, December 4, 2020

Chan Quin Er merayu KWSP, fahami denyut nadi rakyat

Saya merayu kepada KWSP supaya melihat semula syarat-syarat pengeluaran wang simpanan pencarum dari Akaun Satu mereka supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Melihat kepada kenyataan media KWSP semalam, saya dapati ia tidak menepati kehendak pencarum yang rata-ratanya mahukan pengeluaran wang simpanan persaraan mereka boleh dikeluarkan tanpa syarat berlebihan.

Saya percaya bahawa setiap pencarum memiliki akal yang waras dan tahu bahawa setiap sen yang disimpan di KWSP adalah untuk menjamin masa depan mereka kelak. 

Namun, dalam cabaran hari ini akibat pandemik COVID-19, rakyat memerlukan satu 'pelampung' bagi memastikan mereka tidak 'lemas'. Sudah tentu, hanya mereka yang benar-benar memerlukan sahaja yang akan membuat pengeluaran dan tidak semua akan mengeluarkan RM10,000 secara 'lump sum'.

Justeru itu, saya sangat berharap KWSP termasuk Kementerian Kewangan agar mempertimbangkan semula keputusan semalam, demi kepentingan rakyat yang amat memerlukan ketika ini.

Memetik kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika penggulungan Belanjawan 2021 pada 26 November 2020 di Dewan Rakyat lalu;

"Mendukung semangat kerajaan prihatin rakyat kita sentiasa meneliti rapat perbahasan dalam Dewan ini yang mana Ahli Yang Berhormat semua merupakan denyut nadi suara akar umbi."

Antara denyut nadi suara akar umbi, sebagaimana menjadi syarat Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi menyokong Belanjawan 2021 adalah, lanjutan moratorium 6 bulan kepada B40 dan M40 serta pengeluaran wang daripada Akaun Satu KWSP.

Sumber

Chan Quin Er merupakan Jurucakap MCA dan juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Zon Seputeh.

No comments:

Post a Comment