AdSense

Wednesday, March 21, 2018

#Teksi : Kumpulan ke 5 dapat lesen individu. SPAD serah lagi 300 kepada penerima, geran RM5000 setiap seorang


Nampak gayanya ada pihak yang tidak senang dengan majlis penyerahan ini kerana gagal mempergunakan pemandu teksi bagi tujuan politik.

Sedia maklum, pemandu teksi sering dijadikan kuda oleh segelintir pemimpin politik bagi memburuk-burukkan kerajaan dan agensi kerajaan.

Biasanya, isu kebajikan pemandu teksi dijadikan modal utama untuk menyerang kerajaan. Kononnya pemandu teksi tidak terbela, diabaikan dan dianaktirikan.

Adakah segala dakwaan ini benar? Mari kita meneliti realiti yang berlaku.

Membicarakan tentang lesen individu, sebelum ini, seramai 2493 pemandu teksi telahpun menerima lesen individu. Semalam, 20 Mac 2018, lagi 300 lesen individu diserahkan kepada kumpulan pemandu teksi yang kelima dibawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP).


Untuk makluman, seramai 74 pemandu juga menerima bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 setiap seorang bagi tujuan membeli kenderaan baharu, menggantikan yang lama.

Nah! terbukti industri teksi tidak pernah diabaikan. Malah sentiasa menjadi fokus dan perhatian kerajaan khususnya SPAD sebagai badan yang memainkan peranan penting berhubung pengangkutan awam darat di Malaysia.

Memetik kenyataan menteri yang bertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dato' Sri Hajah Nancy Shukri berkata pemberian lesen teksi individu itu adalah satu inisiatif progresif oleh Kerajaan dan SPAD untuk membuka jalan bagi menyelesaikan isu serta rungutan pemandu teksi di bawah sistem pajak yang telah lama membebankan mereka.

Tambah beliau, pemberian lesen individu itu diadakan menerusi inisiatif TITP bagi menambah baik kebajikan pemandu teksi, sekali gus mewujudkan daya saing yang lebih sihat di pasaran masa kini.


Kumpulan kelima penerima lesen individu ini telah melalui proses saringan yang ketat oleh SPAD dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta menepati syarat-syarat kelayakan pelesenan SPAD. Penerima lesen individu kumpulan kelima ini terdiri daripada 159 pemandu teksi dan 142 pemandu kereta sewa.

Daripada jumlah itu, 52% pemandu adalah daripada Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 24% daripada Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, dan 23% daripada Melaka dan Johor Bahru. Tambahan lagi, 74 daripada penerima lesen individu pada kali ini turut menerima geran tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru. Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika Pembentangan Bajet 2017.

Sejak dilaksanakan, seramai 2,493 pemandu teksi telah menerima lesen individu dan sebanyak 82 Geran Tunai kerajaan yang bernilai RM410,000 telah diberikan kepada pemandu teksi yang layak. (Bilangan ini adalah setakat 3 Jan 2018.)


Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2017 akan membolehkan penyeragaman peraturan syarat-syarat sewa pajak yang akan dikawal selia oleh SPAD. Ini termasuk peruntukkan bagi hari bebas sewa untuk pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama, dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak.

Pindaan undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 telah pun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada akhir Julai lalu dan akan diwartakan pada suku ke 2, 2018.

Untuk maklumat lanjut mengenai TITP, sila rujuk www.spad.gov.my/ms/pusat-media/kenyataan-media/2016/spad-memperkenalkan-perancangan-untuk-mempertingkatkan-industri atau hubungi SPAD (Hotline: 1-800-88-7723 atau titp@spad.gov.my).

No comments:

Post a Comment