AdSense

Sunday, November 26, 2017

PRU14 : Penerangan UMNO mula guna 'gear' tinggi


Gerakan penerangan UMNO harus diangkat ke 'gear' yang lebih tinggi dalam menuntut jentera penerangan penuh kesiapsiagaan bagi menghadapi mood menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti akan memastikan jentera cukup kuat dan hebat bagi membawa mesej parti menghadapi PRU14.

"Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula pada 5 Disember ini dilihat akan menjadi 'push factor' kepada rangkaian jentera penerangan UMNO untuk lebih agresif, kreatif dan inovatif.

"Fikiran yang terkehadapan dari seteru politik lain amat penting ketika ini sebagai persediaan pergerakan jentera penerangan UMNO bagi hadapi PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan Pusat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Menurut Annuar, pada PAU tahun ini, buat pertama kalinya, satu Konvensyen Penerangan dan Media akan diadakan pada 5 Disember ini dan dijangka membabitkan penyertaan lebih 1,500 pemimpin kanan jentera penerangan UMNO seluruh negara.

"Pada konvensyen itu, lebih 1000 tenaga kerja penerangan parti akan terlibat dengan majlis perasmian yang akan dirasmikan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Disember.

"Pada sebelah petang hari yang sama, taklimat Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diadakan dengan kehadiran daripada pelbagai peringkat tertinggi hingga akar umbi yang melibatkan lebih 4000 orang.

"Majlis ini bertujuan sebagai membentuk 'mood' kesiapsiagaan ahli parti khususnya yang berada di peringkat penerangan untuk menghadapi PRU14," katanya lagi.

Ujarnya lagi, konvensyen tersebut akan dijadikan sebagai 'kick-off' kepada jentera penerangan UMNO selain membentuk mood kesiapsiagaan sekali gus mewujudkan mentaliti menang sebagai persediaan rapi menempuhi PRU akan datang.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikannya, Annuar berkata, pihaknya sudah mengarahkan sebanyak 133,580 ketua penerangan dan setiausaha di seluruh negara untuk pertingkatkan intensiti pergerakan jentera penerangan parti melalui pelbagai program di kawasan masing-masing.

Katanya, jentera ini digerakkan serta-merta dan bukan sahaja terbabit secara langsung dalam ceramah, malah pelbagai program lain lagi dalam usaha menarik minat rakyat.

"Jentera penerangan UMNO diminta berfikir lebih kreatif dan inovatif supaya tidak terlalu bergantung sepenuhnya terhadap kaedah ceramah secara konvensional.

"Penerangan UMNO akan terus menumpukan kepada program 'Perjuangan For All' di mana sehingga kini sebanyak 17 siri telah diadakan dan program dalam talian 'Anda Tanya, Kita Jawab menerusi portal UMNO online."

Penerangan UMNO juga telah menemui pendekatan baharu iaitu jelajah Mobile LED di mana pelbagai jenis program dan aktiviti boleh diadakan secara santai dan fleksibel di mana sahaja menggunakan trak sebagai pentas.

No comments:

Post a Comment