Cukup menyayat hati bila kesemua ahli keluarga meninggalkan kita sekelip mata. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Itulah yang sedang dihadapi oleh Ketua Pemuda MCA Tanjong, Pulau Pinang, Lim Swee Bok apabila empat ahli keluarganya maut dalam satu kebakaran di kediaman mereka.
Kejadian yang berlaku pada jam 6 pagi semalam 15 November 2017 itu meragut nyawa isterinya Chen Yen, 35, anak lelaki Lim Yin Chun 9, anak perempuan Lim Jia Yiin, 8, dan ibunya Lau Sai Poh, 62.
Memetik laporan media, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata, mayat isteri, anak perempuan dan ibu Swee Bok ditemukan di ruang tamu tingkat bawah pada 7.10 pagi dipercayai cuba menyelamatkan diri manakala anak lelakinya di tingkat atas rumah iaitu 50 minit selepas itu.
Lebih menyedihkan, untuk makluman, ayah Swee Bok baharu saja meninggal dunia seminggu yang lepas.
Kesedihan itu turut dirasai kepimpinan parti MCA, baik diperingkat negeri mahupun nasional. Selain ucapan takziah, pihak parti akan menyalurkan beberapa sumbangan bagi mengurangkan beban Swee Bok.
Paling utama, keprihatinan dan sokongan kepimpinan parti diharapkan dapat mengembalikan kekuatan Swee Bok dalam menghadapi situasi sukar.
Menurut Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng, MCA akan memberi bantuan termasuk urusan pengebumian keluarganya dan satu pasukan khas dibentuk untuk membantu keluarga Swee Bok.
Beliau berkata MCA negeri juga akan memberi sumbangan awal RM10,000 kepada keluarga Swee Bok.
Di peringkat kepimpinan tertinggi pula, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut hadir menemui Swee Bok. Sokongan kepimpinan parti terhadap ahli mereka cukup menyentuh perasaan, erat bagai satu keluarga besar.
Bagi pihak editorial Suara Lensa, tiada apa yang hendak diperkatakan melainkan ucapan takziah buat Swee Bok. Tiada siapa yang mampu melalui dugaan berat seperti ini. Namun diharapkan semoga anda terus tabah dalam menjalani kehidupan.
No comments:
Post a Comment