Menjadi tanggungjawab seorang wakil rakyat untuk menjaga dan membangunkan kawasan mereka selepas diberi mandat oleh rakyat ketika pilihanraya.
Di Bentong, Pahang misalnya, Ahli Parlimen Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA dilihat cukup disenangi masyarakat setempat kerana tidak pernah berhenti daripada membela nasib rakyat.
Baru-baru ini, Bentong dibanjiri orang ramai daripada segenap pelusuk untuk ke Festival Pelancongan Kebudayaan Durian Antarabangsa Malaysia 2017.
Sedia maklum, Raja Buah ini cukup popular di Bentong. Mujurlah mereka dipimpin oleh pemimpin berjiwa rakyat seperti Liow, dapatlah dusun-dusun durian dikembangkan seterusnya merancakkan ekonomi setempat.
Lihat saja festival yang diadakan, bukan saja pemilik dusun, peniaga durian bahkan peniaga kecil dan pemilik hotel serta homestay turut menerima tempiasnya dengan kehadiran orang ramai yang luarbiasa.
Untuk makluman, program ini dianjurkan oleh MCA Belt and Road Centre (Mbrace) dengan kerjasama Syarikat Sistem Penyiaran Hunan, Mango Entertainment.
Festival itu juga mensasarkan jumlah pengunjung seramai 50,000 orang ke Bentong. Nampaknya, jumlah yang disasarkan itu lebih daripada mencukupi.
Sementara bagi Menteri Pertanian & Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula, festival tersebut merupakan pendekatan terbaik memperkenalkan buah-buahan tempatan ke pasaran antarabangsa.
Jangan tak tahu, program ini dilaksanakan antara lain adalah kerana pihak kerajaan mahu orang kampung turut terlibat dengan aktiviti pengeluaran buah-buahan tempatan terutama durian untuk dipasarkan ke luar negara khususnya China, Dubai serta Hong Kong.
Nah! Penduduk Bentong dan sekitarnya kini patut berasa bangga dengan perkembangan ini. Lebih-lebih lagi projek keretapi jajaran Pantai Timur (ECRL) juga sedang dalam perancangan masa depan. Nampak gayanya, ramailah penduduk Kuala Lumpur akan berhijrah ke Bentong nanti. Bentong pasti berubah wajah ke arah yang lebih maju dan berjaya.
No comments:
Post a Comment