AdSense

Thursday, September 14, 2017

Kita berjaya : Kalau enggan akui, usahlah nafi


Semakin hari, nama Malaysia semakin kerap meniti di bibir masyarakat antarabangsa. Pembangunan negara kecil seperti Malaysia jelas bertambah baik. Baik pembangunan ekonomi, pendidikan, pentadbiran, keselamatan dan sistem pengangkutan awam. Kalau penulis katakan begini, mungkin ada sesetengah pembaca yang enggan mengakuinya. Satu saja penulis ingin ingatkan, kalau enggan akui kejayaan ini, usahlah menafikannya sehingga menyebar pelbagai gambaran tidak tepat mengenai Malaysia.


Rizab negara melebihi RM400 bilion sejak negara ditadbir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak - satu angka yang tidak didendangkan di media sosial. Masyarakat seolah-olah tidak berminat dengan nilai ini. Apa yang lebih diminati ialah persepsi tidak tepat tentang RM2.6 bilion.

Benar, kos sara hidup di Malaysia semakin hari semakin tinggi. Sedia maklum Malaysia sedang menuju menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Bukan senang nak senang, tak susah nak susah. Pokok pangkal pada diri sendiri. Hendak senang dan hidup mewah, perlulah berusaha. Bukan hanya duduk di rumah bermain Facebook dan memaki hamun kerajaan sepanjang masa.

Keluarlah, lihatlah apa yang ada di sekeliling hari ini. Bacalah akhbar dan agensi berita yang beretika. Bukalah internet, dan jika ada duit lebih, berkunjunglah ke negara luar. Lihatlah sendiri dan buatlah perbandingan dengan negara Malaysia. Apakah kita semakin mundur?

Hebatnya Malaysia, sehingga kerajaan Arab Saudi menggunakan perkhidmatan Malaysia dalam urustadbir pengangkutan - tren semasa musim haji. Ini bukanlah yang pertama kali. Tren ini digelar, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro - Southern Line (MMMSL). Seramai 350,000 jemaah haji, dengan kebanyakannya dari Asia Barat dan Asia Selatan menjadi penumpang tren ini pada musim haji tahun 2017 ini.

Untuk makluman, gerabak tren ini ialah sepanjang 300 meter! Ini merupakan sesuatu yang membanggakan. Bukti tenaga kerja dan kepakaran Malaysia dihargai oleh masyarakat di seluruh dunia. Inilah kejayaan kita, jika enggan akui, usahlah menafikannya.

Berita-berita sebegini mungkin jarang atau langsung tidak keluar dalam mana-mana portal milik pro pembangkang. Ini kerana, masing-masing tidak mahu kejayaan pentadbiran Najib dan Barisan Nasional ini diingati masyarakat. Mereka hanya berkiblatkan parti-parti pembangkang. Jika kejayaan negara sering dibicarakan, sudah tentu masyarakat kekal menyayangi pentadbiran kerajaan hari ini seterusnya menolak parti-parti pembangkang.

Portal-portal pro pembangkang sedar perkara ini, sebab itu kejayaan negara tidak disebarkan. Apa yang ada hanyalah persepsi dan fitnah memburuk-burukkan kerajaan. Mereka ada kepentingan mereka sendiri.

Begitu juga dengan kejayaan pembinaan MRT laluan Sungai Buloh - Kajang (SBK). Bukan sahaja berjaya dan canggih tetapi kos pembinaanya juga menjimatkan sehingga RM2 bilion! Kalau pentadbiran yang ada hari ini tidak bertanggungjawab, boleh saja 'lesapkan' RM2 bilion ini ke dalam poket sendiri.

Tidak lama lagi MRT laluan Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya akan menjadi realiti. Namun, ia pastinya tidak disenangi oleh sesetengah masyarakat atau pemimpin yang ada kepentingan politik. Kejayaan dan perancangan baik kerajaan akan diberikan gambaran tidak tepat. Persepsi dan fitnah dijadikan senjata menafikan kejayaan negara.

Masyarakat seharusnya bersedia dengan strategi politik kotor seperti ini. Tambahan pula projek-projek besar seperti keretapi Pantai Timur (ECRL), keretapi laju KL - Singapura (HSR) dan banyak lagi penambahbaikan sistem pengangkutan awam yang dirancang kerajaan menerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal dilaksanakan.

Kita perlu bersedia samada untuk memilih berita persepsi berbaur fitnah ataupun menikmati manfaat daripada kejayaan negara. Sekali lagi penulis hendak katakan, jika enggan akui kejayaan ini, usahlah menafikannya. 

No comments:

Post a Comment