Thursday, August 17, 2017

Info khas buat pengguna myBAS Seremban


Hari ini lebih baik daripada sebelumnya... Ini mungkin ungkapan yang sesuai untuk sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Bukan saja tertumpu pada kawasan ibukota, sistem pengangkutan awam kita juga merangkumi bandar-bandar kecil dan juga luar bandar.


Ketepikan dulu soal perancangan projek mega keretapi pantai timur (ECRL) dan keretapi laju KL-Singapura (HSR). Itu antara projek yang jelas memberi manfaat kepada kawasan-kawasan luar bandar.

Sekarang kita bercakap tentang sistem sedia ada seperti bas... Sedia maklum, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) sebelum ini melancarkan myBAS.

MyBas dalam program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti misalnya, telah berjaya menerima respon positif dikalangan orang ramai.

Untuk makluman, myBas mula diperkenalkan di Perlis pada 1 Ogos 2015. Mengejutkan apabila berlaku peningkatan angka penumpang daripada 9,252 orang kepada 20,423 orang setiap bulan di Kangar. Satu peningkatan yang cukup tinggi!

Bersandarkan kepada kejayaan itu, myBas kemudiannya diperkenalkan pula di Seremban, Negeri Sembilan yang bermula pada 15 November 2015.


Terbaharu, SPAD dalam satu kenyataan mengatakan pihaknya telah melaksanakan penambahbaikan rangkaian laluan myBAS di Seremban bagi mempertingkatkan perkhidmatan bas tersebut secara berterusan.

Penambahbaikan ini melibatkan 17 laluan utama dan 5 laluan perantara yang akan menawarkan sistem pengangkutan yang lebih bersepadu meliputi jarak sebanyak 728 km berbanding 27 laluan sedia ada yang sebelum ini hanya meliputi jarak sebanyak 578km.  

Melalui penambahbaikan ini, semua laluan bas utama dan laluan bas perantara akan dihubungkan ke tiga terminal utama iaitu Terminal 1 Seremban, Terminal Nilai Sentral dan Terminal Port Dickson untuk meningkatkan kesalinghubungan kepada penggunanya.

Dibawah penambahbaikan ini, dua laluan baru bas perantara myBAS Seremban telah diperkenalkan, F300: Bandar Port Dickson dan F500: Bandar Seremban, yang beroperasi dari 7:00 pagi hingga 8:00 malam dan 7:00 pagi hingga 10:00 malam setiap kekerapan 20 minit.


Mudah-mudahan penambahbaikan ini dapat memberi senyuman bermakna buat penduduk setempat khususnya pengguna myBAS.

No comments:

Post a Comment