AdSense

Sunday, July 30, 2017

Dari Parlimen : Transformasi teksi - Lebih maju, ikut trend


Tarikh 27 Julai 2017 menjadi detik manis buat pemandu teksi apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat APAD (2010) selepas dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri.

Kenapa penulis katakan detik manis?


Untuk makluman, pindaan ini sebenarnya meletakkan pemandu teksi seiring dengan kemajuan serta kehendak semasa.

Apa yang diluluskan di Parlimen tempoh hari merangkumi peruntukan untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengawal selia perkhidmatan yang menggunakan aplikasi e-hailing. 

Pindaan tersebut juga akan mempertingkatkan tahap industri teksi melalui pengenalan rangka kerja pengawalseliaan yang dilaksanakan sejajar dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP).

Sedia maklum, aplikasi e-hailing ini merupakan tren semasa dan sememangnya menjadi permintaan tinggi masyarakat hari ini.

SPAD dalam satu kenyataannya berkata, pindaan ini adalah untuk memastikan pengendali dan pemandu perkhidmatan e-hailing mengguna pakai standard keselamatan dan perkhidmatan yang tertinggi, melalui pemeriksaan latar belakang mandatori oleh SPAD, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Ia juga akan memberikan Suruhanjaya kuasa untuk memperkenalkan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan seperti mewajibkan pengendali perkhidmatan e-hailing untuk menyerahkan kepada SPAD maklumat berkaitan data perjalanan dan kenderaan-kenderaan mereka yang akan digunakan bagi perancangan pengangkutan awam darat.

Namun, soal tambang pula adalah mengikut kuasa pasaran, bukannya SPAD. Selain itu, pindaan ini juga akan memberikan pilihan kepada pemandu teksi bermeter untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui penggunaan harga tambang dinamik apabila mereka menggunakan aplikasi e-hailing, di samping mengambil penumpang di bahu jalan dengan menggunakan kadar tambang teksi bermeter.
 
Kelulusan pindaan ini membuktikan kepimpinan Kerajaan yang memahami bahawa sistem pengawalseliaan perlu berubah mengikut aliran masa untuk menggalakkan inovasi bagi meningkatkan pertumbuhan industri.

Perubahan-perubahan ini adalah wajar dan akan berupaya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, pada masa yang sama perkembangan ini dapat menyediakan satu medan persaingan yang adil bagi industri teksi melalui penggunaan teknologi serta pendekatan yang lebih responsif kepada kuasa pasaran.  

SPAD akan menggariskan butiran yang lebih lanjut mengenai pindaan APAD ini, serta impak perundangan terhadap industri teksi dan perkhidmatan e-hailing dalam jangka masa terdekat.

Bagi penulis, pemandu teksi seharusnya memandang perkara ini dari sudut positif. Sekarang bukan lagi masa untuk bergaduh dengan sesiapa. Sekarang adalah masa untuk sama-sama perbaiki apa yang kurang. Lebih penting ialah mengakui bahawa pengguna mempunyai kuasa terbesar.

Pemandu teksi sama seperti pengusaha restoran. Kedai mana yang menghidangkan makanan lebih lazat, premis yang lebih bersih maka sudah pasti akan dikunjungi ramai. Inilah kuasa pengguna yang lebih gemarkan aplikasi e-hailing.

No comments:

Post a Comment