AdSense

Friday, June 30, 2017

Tak eksport kayu getah satu keputusan tepat


Apa sahaja yang keluar daripada mulut kerajaan, pasti ada kumpulan yang membangkangnya membabi buta. Keputusan kabinet yang tidak membenarkan kayu getah dieksport pun dijadikan modal menyerang kerajaan. Kononnya tak ada negara yang hendak berurusniaga dengan Malaysia, Malaysia kena pulau dan lain-lain tanggapan yang tidak masuk akal.


Walhal, keputusan tersebut yang berkuasakuasa mulai esok, 1 Julai 2017 itu adalah bertujuan mengutamakan keperluan industri perabot negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pengusaha industri perabot ketika ini berdepan dengan masalah kekurangan bahan mentah.

Untuk makluman pembaca, tindakan melarang eksport kayu getah itu amat penting bagi memenuhi keperluan industri perabot tempatan, sekali gus meningkatkan nilai eksport negara. Dalam masa sama kerajaan sedang berusaha meletakkan nama Malaysia di tempat tertinggi sebagai negara pengeksport perabot dunia.

Jangan tak tahu, Malaysia sebelum ini pernah berada pada tangga ke-6! Namun jatuh pada tangga ke-9 pada ketika ini.

Sebab itu keputusan kabinet tidak membenarkan eksport kayu getah ini wajar disokong semua pihak. Tambahan pula, wujud perbezaan keuntungan yang ketara antara eksport bahan mentah berbanding eksport perabot.

Mungkin ada yang tidak tahu, hasil eksport kayu getah adalah dianggarkan RM200 juta hingga RM300 juta setahun berbanding hasil eksport perabot yang lebih tinggi iaitu bernilai RM9.5 bilion setahun!


Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga mengatakan, sebanyak 63 peratus eksport perabot negara adalah dari Johor dengan 95 peratus daripadanya melibatkan pengusaha perabot dari Muar.

Sedia maklum, kayu getah ini merupakan satu penjanaan sumber yang cukup besar. Kalau kita menjual kayu getah ini kepada negara lain seperti Vietnam, ia tidak menguntungkan kita.

Tambah Wee, kerajaan Johor juga mempunyai pendirian yang sama iaitu, mengutamakan bahan mentah ini untuk kegunaan domestik. Ini kerana ia akan memberi nilai tambah lebih besar daripada menjualnya. Iyalah, bila kita eksport bahan mentah (kayu getah), negara lain yang akan memproses menjadi perabot dan menjual semula kepada Malaysia. Ternyata ianya tidak menguntungkan negara.

Apa yang pasti, larangan eksport kayu getah sudah tentu akan melegakan pengusaha industri perabot kerana apabila tiada sumber kayu getah, harga bekalan bahan mentah terbabit mencecah RM2,300 satu tan berbanding RM1,600 satu tan sebelum ini.

Inilah usaha pihak kerajaan yang sentiasa melakukan yang terbaik buat rakyat dan negara. Biarpun ada keputusan yang dibuat itu tidak popular bagi sesetengah pihak namun dalam masa sama ia memberi berita gembira buat ramai pihak secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment