Sunday, June 18, 2017

"Pandu Cermat, Sampai Selamat" pertingkat kesedaran. Jadi tragedi baru nak sedar?


Tak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu ramai yang akan pulang ke kampung halaman pada musim cuti perayaan ini. Maka itu, aspek keselamatan jalan raya harus dipandang serius kepada setiap pengguna jalan raya. Baik di jalan kampung, bandar, apatah lagi lebuhraya.


Kementerian Pengangkutan pula sedang menjalankan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kebangsaan Tahun 2017 bertemakan 'Pandu Cermat Sampai Selamat'.

'Pandu cermat' itu bukanlah sesuatu yang sukar. Hanya memandu dengan cara berhemah, tidak memandu melebihi had laju dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Bila kita 'sampai selamat', ianya merupakan satu peristiwa manis buat insan tersayang yang menunggu kepulangan kita.

Kata Menterinya yang juga merupakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kempen ini adalah bertujuan mempertingkat kesedaran dalam usaha menyelamatkan nyawa. Bukannya mempertingkatkan penguatkuasaan, penalti atau saman semata-mata.

Tragedi baru-baru ini yang melibatkan treler dan van tahfiz adalah perkara yang tidak ingin kita lihat. Sebab itu pentingnya kesedaran dalam kempen keselamatan jalan raya ini. Apa gunanya dikenakan kompaun atau saman jika ianya melibatkan kehilangan nyawa.


Justeru itu setiap daripada kita perlu berubah sikap. Maksudnya, jangan pakai tali pinggang keledar kerana takut disaman sebaliknya mahu menyelamatkan nyawa. Jangan pandu laju kerana takut dengan kamera AES sebaliknya mahu menyelamatkan nyawa.

Mudah saja bukan.

Begitu juga penunggang motosikal. Ikatlah tali topi keledar. Tukarlah topi keledar yang baharu bila sampai masanya. Liow sendiri menerusi kementeriannya ada meminta pihak swasta dan NGO supaya memberikan topi keledar yang baharu serta selamat kepada masyarakat khususnya penunggang motosikal. Pihak swasta dan NGO juga memainkan peranan mereka dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sebenarnya, Kementerian Pengangkutan dan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sudah melakukan banyak cara bagi menangani isu ini. Sehingga menyebabkan kakitangan mereka tidak dibenarkan bercuti semata-mata mahu memantau keselamatan pengguna jalan raya.

Pokok pangkalnya, ia berbalik semula kepada kita sebagai pengguna jalan raya. Samada kita sedar betapa pentingnya 'Pandu Cermat Sampai Selamat' atau sebaliknya. Adakah bila terjadinya tragedi baru hendak sedar?

#PanduCermatSampaiSelamat

No comments:

Post a Comment