AdSense

Tuesday, April 25, 2017

Audit Dalaman - Annuar puas hati, serah pada MARA buat keputusan


Kekal pendirian nafi wujud salahguna kuasa dan penyelewengan. Puas hati dapat beri keterangan kepada audit dalaman dan serah pada pihak MARA buat keputusan.

Itu ringkasan yang dapat dirangkumkan berhubung apa yang berlaku siang tadi.


Pagi tadi kira-kira jam 10.30, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang digantung tugas sementara, Tan Sri Annuar Musa tiba di Ibu Pejabat MARA di ibunegara bagi memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA.

Sedia maklum, beliau dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mengaitkan penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW).

Kata Annuar yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Ketereh itu, sejujurnya beliau sebelum ini ternanti-nanti bilakah masanya beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu tersebut.


Jika pembaca masih ingat, beliau diminta bercuti daripada menjadi Pengerusi MARA pada 31 Januari yang lalu.

Hari ini, beliau berasa puas hati selepas dapat memberi keterangan selama kira-kira satu jam. Tiada siapa yang tahu apa yang diperkatakan Annuar. Hanya beliau dan pihak audit sahaja yang tahu.

Dalam masa sama Annuar yang dilantik menjadi Pengerusi MARA sejak 19 Julai 2003 itu sekali lagi berlapang dada apabila menyerahkan kepada pihak pengurusan MARA untuk membuat apa jua keputusan terhadap keterangan yang diberinya.

Selain itu, beliau sekali lagi kekal dengan pendiriannya menafikan wujudnya salahguna kuasa dan penyelewengan dalam proses membuat keputusan untuk tajaan yang melibatkan Pelaburan MARA Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan TRW.

Penulis tertarik dengan penggunaan ayat 'fitnah totok' seperti yang dikatakan Annuar dalam sidang medianya tadi.

"Saya tidak terlibat dalam memutuskan, perundingan dan beri arahan dalam proses perjanjian komersial. Itu fitnah totok, yang ambil bahagian ialah mereka yang terlibat dengan bajet penjenamaan dan pemasaran."

No comments:

Post a Comment