Lebih 30 minit, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak boleh memulakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 355 akibat gangguan yang dicetuskan oleh pemimpin DAP dan PKR terutamanya.
Ada sahaja halangan yang dilakukan semata-mata mahu menyekat Hadi daripada memulakan ucapan pembentangan. Sesekali terdengar suara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bangkit mempersoalkan tindakan MP DAP dan PKR yang sengaja mahu melengah-lengahkan Aturan Mesyuarat itu.
Perasaan sama turut dirasakan pengamal media yang membuat liputan dan rakyat Malaysia serta masyarakat di lain-lain negara - BILA HADI AKAN MULA BENTANG?
Saat suasana tenang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi lalu kepada Hadi, bangkit pula Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga merupakan Penasihat DAP Lim Kit Siang dengan angkuh dan bengis.
Pemimpin paling lama di Dewan Rakyat itu cuba mengeluarkan kenyataan provokasi dan mempolitikkan RUU355 apabila menyebut nama-nama parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan.
Namun provokasi itu tidak dilayan oleh MP BN lain yang matang dan waras. Mereka tidak terpedaya dengan hasutan halus Kit Siang yang secara terang menonjolkan sikap anti Islam.
Dengan izin Allah Yang Maha Kuasa dan kebijaksanaan Pandikar mengawal keadaan, Hadi dapat menyalakan lampu pada butang pembesar suara dan memulakan pembentangan.
Suara Hadi seakan bergetar - barangkali sebak selepas melihat halangan yang terpaksa dihadapi dalam usaha memantapkan perundangan untuk orang Islam. Suara terketar-ketar itu juga mungkin menunjukkan bahawa Hadi sudah tua.
Namun ketenangan wajahnya dengan berlatarbelakangkan pemimpin muda Nik Abduh Nik Aziz dan Nasruddin Hassan memberikan kekuatan dan semangat kepada para penonton khususnya yang beragama Islam. Hinggalah RUU355 berjaya dibentangkan Hadi di dalam Dewan Rakyat.
Terima kasih dan ucapan tahniah juga wajar diberikan kepada MP bukan Islam di dalam BN yang matang dan tenang. Mereka kelihatan lebih profesional berbanding pemimpin pembangkang yang lain. Sudah tentu mereka memahami bahawa RUU355 hanya untuk orang Islam.
Ya, Suara Lensa memang penyokong UMNO dan BN sementara Hadi pula pemimpin PAS. Namun ini tidak bermakna Suara Lensa beralih arah kepada PAS. Sebaliknya Suara Lensa menyokong apa sahaja usaha tidak kira oleh siapa pun demi kekuatan ummah dan Islam.
Sama seperti tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang boleh berlapang dada dan duduk semeja dengan sesiapa pun demi manfaat ummah dan Islam.
Ini juga tidak bermakna UMNO mengenepikan parti komponen lain. Apa yang uniknya tentang BN ialah mereka sentiasa berlapang dada dan membuat sesuatu perkara dengan tenang. Paling penting, semangat konsensus dalam BN diletakkan pada tempat yang tinggi.
Inilah yang membezakan BN dengan Pakatan Harapan (PH). PH dipimpin DAP dengan cara yang penuh emosi, diktator dan kebencian. Mereka hanya pandai mencetuskan provokasi dan memecah-belahkan masyarakat dengan pelbagai cara.
Sebab itu tarikh 6 April 2017 perlu diingat oleh masyarakat hari ini dan mengingatkannya pula kepada generasi akan datang. Pernah berlaku di dalam sejarah negara kita bagaimana DAP khususnya pemimpin utamanya Lim Kit Siang memperlihatkan wajah sebenar sebagai seorang yang rasis dan anti Islam.
Ia juga bertepatan sekali dengan apa yang pernah dikatakan oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yang menggelarkan Lim Kit Siang sebagai seorang rasis dan anti Islam.
Sehingga kini Lim Kit Siang tidak berani menyaman Annuar walaupun pernah dicabar berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment