AdSense

Sunday, April 9, 2017

300 lesen individu : BUKTI komitmen kerajaan, SPAD wujud industri teksi progresif


Bila sebut perkhidmatan teksi di Malaysia, maka pelbagai reaksi akan timbul. Ada yang positif dan ada juga yang negatif.

Artikel kali ini Suara Lensa tidak berhasrat untuk menulis tentang baik-buruk perkhidmatan teksi secara khusus. Biarlah orang ramai sendiri yang membuat kesimpulan samada perkhidmatan teksi ini baik atau sebaliknya.


Apa yang hendak penulis tekankan di sini ialah soal keprihatinan kerajaan menerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam usaha memartabatkan industri teksi di Malaysia.

Penulis sedar bahawa ada segelintir pihak yang beranggapan bahawa SPAD gagal membela nasib para pemandu teksi. Malah kerajaan dan SPAD juga dikatakan hanya menyebelahi 'pemandu online' seperti Uber atau Grab. Hakikatnya, ia merupakan tanggapan yang tidak tepat.

Bila PM sentuh tentang transformasi industri teksi... Apa maknanya? BACA DI SINI

Industri teksi dalam negara tidak pernah diabaikan oleh kerajaan dan SPAD. Bagaimana kita boleh cakap sedemikian sedangkan kerajaan sendiri mewujudkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP)!

Bahkan SPAD juga menjalankan inisiatif mereka sendiri apabila mewujudkan Makmal Transformasi Teksi semata-mata mahu memastikan industri teksi di Malaysia terus berdaya saing dan kekal relevan.

Ini bukan sembang kosong sebaliknya SPAD dilihat cukup komited membela para pemandu teksi di seluruh negara.

Pada 31 Mac baru-baru ini, SPAD telah menyerahkan 300 lesen individu kepada pemandu teksi yang keluar daripada sistem pajak di bawah program TITP. Ia diberikan kepada pemandu teksi yang layak dan telah menamatkan tempoh kontrak pajak mereka.

SPAD dalam siaran media menyatakan, pelaksanaan inisiatif di bawah TITP ini adalah bagi menambahbaik kebajikan para pemandu teksi dan untuk mewujudkan satu persekitaran yang adil dan sihat bagi industri.

Untuk makluman pembaca, kumpulan penerima pertama itu merupakan sebahagian daripada 3,007 permohonan yang diterima pihak SPAD sejak Ogos 2016. Sudah tentu kesemua permohonan tersebut perlu melalui proses saringan dan mematuhi keperluan-keperluan pelesanan SPAD yang direka bagi meningkatkan mutu perkhidmatan industri teksi negara.

Selain itu, kesemua 300 penerima Lesen Individu juga akan menerima geran tunai kerajaan berjumlah RM5,000 bagi membantu pemandu teksi yang telah menerima lesen individu untuk membeli kenderaan baru.

Sedia maklum, geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2017 yang lalu.

Sementara menurut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, pemberian Surat Tawaran Kelulusan kepada 300 pemandu teksi itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan industri teksi Malaysia yang progresif.


"Dengan memberikan individu-individu ini peluang untuk keluar daripada sistem pajak, kita berharap akan dapat melahirkan satu generasi usahawan teksi yang berkemampuan untuk membuat pilihan yang bijak supaya lebih berdaya saing; pada masa industri sedang berhadapan dengan kemajuan teknologi terkini. Industri teksi perlu menyesuaikan diri dengan ‘trend’ yang mendorong permintaan pasaran hari ini," tegas beliau.

Tambah Syed Hamid, pemandu teksi telah lama meminta supaya pembekuan lesen individu ditarik balik disebabkan ramai di kalangan mereka telah dibebani oleh sistem pajak lama. Sistem tersebut telah menyumbang kepada masalah struktur dan cabaran dalam mewujudkan perkhidmatan teksi yang lebih mengutamakan pelanggan.


"Berikutan kajian yang dilakukan di Makmal Transformasi Teksi oleh SPAD pada November 2015, kami telah mencadangkan pengeluaran lesen individu bagi pemohon yang memenuhi syarat-syarat sebagai satu cara untuk memajukan industri. Kami amat berbesar hati dapat melaksanakan pengesyoran TITP tersebut pada hari ini," katanya lagi.


Secara keseluruhan, TITP menjadi satu pembuka jalan bagi industri teksi Malaysia untuk menjadi lebih mampan dan responsif kepada kuasa pasaran pada masa hadapan.

Pada 1 April 2017, model-model kenderaan bagi kegunaan teksi akan diliberalisasikan untuk membolehkan pilihan kereta yang lebih luas pada harga yang kompetitif bagi pemegang lesen. Di bawah langkah ini, semua jenama kenderaan dan model yang mencapai penarafan keselamatan 3-bintang di bawah Program Penilaian Kereta Baru ASEAN (NCAP) (atau penarafan yang setaraf dengannya),boleh digunakan bagi perkhidmatan teksi. Ini adalah untuk memberikan lebih fleksibiliti bagi pemandu teksi ketika menggantikan kenderaan lama mereka serta berpotensi mengurangkan kos operasi.


Bagi pemandu teksi yang masih di bawah kontrak pajak, SPAD akan mengawal selia kontrak pajak mereka. Kontrak pajak tersebut juga akan ditambah baik dan diseragamkan dengan standard yang wajib dipatuhi di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali.


Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sedang dilakukan bagi membolehkan peraturan syarat-syarat kontrak dilaksanakan ke atas pengendali. Ini termasuk peruntukkan bagi hari bebas sewa untuk pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai TITP, sila rujuk http://www.spad.gov.my/media-centre/media-releases/2016/spad-unveils-plan-uplift-taxi-industry atau hubungi SPAD (Hotline: 1-800-88-7723 atau emel kepada titp@spad.gov.my).


No comments:

Post a Comment