Saturday, March 11, 2017

Nahas jalanraya : Undang-undang sedia ada sudah berat, tingkat kempen kesedaran


Kes kemalangan jalanraya sememangnya satu isu yang penting untuk dibincangkan. Bagaimana kaedah dan langkah mengatasi isu ini atau setidak-tidaknya mengurangkan angka kemalangan khususnya membabitkan kematian?


Minggu awal pembukaan sidang Dewan Rakyat, kelihatan Ahli-Ahli Parlimen mengangkat isu berkaitan kemalangan jalanraya ini dan menerima respon baik daripada pihak kerajaan - Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Bharu (PAS) Datuk Takiyuddin Hassan meminta penjelasan daripada Menteri Pengangkutan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan berikutan banyaknya berlaku kemalangan maut dewasa ini.


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika menjawab berkata, peruntukan hukuman mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian adalah memadai buat ketika ini.

Jelas Liow yang juga Presiden MCA dan Ahli Parlimen Bentong (BN) itu, peruntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM20,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun bagi sabitan pertama serta 10 tahun bagi sabitan seterusnya disifatkan sebagai berat. 

Dalam masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga berusaha mengurangkan kes kemalangan dan kementerian menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pengurangan 10 peratus kes kemalangan jalan raya setiap tahun.


Selain itu, pihak kementerian turut meningkatkan kempen keselamatan jalan raya disamping meningkatkan sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara).

Tegas Liow, pemandu yang melanggar peraturan akan digantung lesen sebagai langkah pencegahan.

Keutamaan kini adalah menyelamatkan nyawa dan kempen keselamatan jalan raya diutamakan. Adalah diharapkan agar usaha ini mendapat kerjasama semua agensi untuk mengurangkan kadar kemalangan.

1 comment:

  1. Penguatkuasaan tidak tegas..kalau masuk tv baru nak buat..ramai yg makan tidur.

    ReplyDelete