Wednesday, March 22, 2017

FGV TIDAK jual saham kepada syarikat asing


Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) setakat ini tidak pernah berbincang berhubung penjualan sahamnya dengan mana-mana syarikat, termasuk China National Cereals, Oils and Foodstuffs Corporation (COFCO) seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.


Demikian menurut penjelasan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad.

Beliau berkata, FGV juga tidak pernah berbincang berhubung penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dengan Tradewinds Group, syarikat yang dikuasai usahawan terkenal Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Bagaimanapun, beliau berkata FGV aktif mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak yang lebih menjurus kepada strategi memperkukuhkan saluran pengedaran produknya di negara yang mana FGV sudah bertapak, dengan memanfaatkan aset sedia ada di negara terbabit.

"FGV aktif berbincang dengan pelbagai pihak di China, India dan Pakistan berhubung bagaimana untuk mengembangkan eksport minyak sawit menerusi saluran pengedaran yang lebih efektif. "Kami mencari rakan strategik bukan pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran logo baharu SAJI, jenama utama produk kulinari yang dikeluarkan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd, di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Samad. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products, Datuk Wira Adam.

Bagaimanapun, Zakaria berkata FGV menyambut baik pembelian saham syarikat itu di pasaran terbuka oleh mana-mana pihak, termasuk pedagang makanan terbesar China, COFCO.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan COFCO dan Syed Mokhtar begitu berminat untuk membeli kepentingan dalam FGV.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment