Tuesday, February 21, 2017

Bila SPAD buat kerja?


Bila nampak saja bas dipandu laju, masing-masing tuding jari pada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kata tak buat kerja.

Bila nampak saja pemandu teksi tak menggunakan meter dan memilih penumpang, SPAD juga yang dimaki. Kata tak buat kerja.


Sedangkan sudah terpampang nombor aduan di badan kenderaan setiap pengangkutan awam di Malaysia. Kenapa tidak terus hubungi nombor tersebut?

Sebab itu masyarakat hari ini perlu dididik dengan nilai-nilai waras, berfikir dengan baik dan tidak mengikut telunjuk nafsu emosi.

Menuding jari menyalahkan orang lain memang sesuatu yang mudah berbanding mengambil sikap dengan bersama-sama memainkan peranan masing-masing.

Ambillah peranan masing-masing sebagai masyarakat yang bijak. Jika semua berganding bahu, sudah tentu segala masalah atau isu dapat diselesaikan dengan cepat dan berkesan.

Berbalik kepada persoalan atau tuduhan yang sering dilemparkan kepada SPAD selaku badan yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan awam di Malaysia. Bila SPAD buat kerja?

Bila SPAD buat kerja, berapa tangkapan dan bila operasi mereka sebenarnya sentiasa disiarkan di dalam media cetak mahupun elektronik. Bahkan SPAD juga memiliki laman rasmi Facebook sendiri selari dengan peredaran semasa yang menjadikan media sosial sebagai rujukan utama.

Rujuklah pada laman yang betul agar tidak terpedaya dengan tulisan-tulisan yang tidak tepat.

Bila SPAD buat kerja? Sebenarnya SPAD sudah banyak menjalankan operasi membanteras dan memantau segala yang berkaitan pengangkutan awam darat. Bukan setakat itu malah SPAD juga berjaya mengheret pesalah ke muka pengadilan dan mengenakan hukuman setimpal. Ada yang kena denda dan ada juga yang disita kenderaanya.

Untuk makluman, operasi SPAD meliputi pelbagai lokasi tumpuan. Sememangnya ia akan dirahsiakan daripada pengetahuan umum bagi memelihara status operasi. Kalau benda macam ini pun hendak didedahkan kepada umum atau persatuan-persatuan yang berkaitan, payahlah!

Antara rekod terbaharu, SPAD telah menyita sebanyak 13 buah kenderaan dipercayai terlibat dengan kegiatan 'ulat' di pintu masuk negara - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, seramai 13 orang pemandu Uber / Grabcar adalah antara 58 ulat yang ditangkap penguatkuasa itu di dua lapangan terbang utama negara sejak tiga bulan lalu.

Mereka menyalahgunakan aplikasi untuk menjalankan kegiatan mereka , namun SPAD mula membuat tangkapan ke atas ulat-ulat Uber / Grabcar ini sejak Oktober lalu.

Pada tahun lalu, SPAD sudah menahan seramai 22 ulat teksi, 16 kereta sapu dan tujuh ulat tiket. KLIA2 merupakan lokasi paling banyak tangkapan iaitu seramai 40 ulat manakala 18 lagi di KLIA.

Benar, kejayaan ini hasil daripada risikan pihak SPAD namun orang ramai khususnya pengguna juga seharusnya memainkan peranan masing-masing jika bersungguh-sungguh mahu membanteras apa jua jenis salahlaku membabitkan pengangkutan awam darat.

Penglibatan orang awam dalam membantu SPAD masih lagi sedikit. Andaikan jika ramai, tidak mustahil mereka yang hendak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang akan berasa lebih takut.

Jadi, kepada pengguna pengangkutan awam di Malaysia, gunakan ruang yang ada dengan baik. Hubungilah pihak SPAD jika berasa curiga atau syak wujud salahlaku membabitkan pengangkutan awam darat.

Akhir sekali, rujuklah sumber yang sahih sekiranya mahu mendapatkan berita sebenar. Bukannya sumber-sumber yang berniat jahat atau mengandungi agenda kepentingan sesetengah pihak.

SPAD mempunyai laman web dan laman Facebook mereka sendiri. Rujuklah, penulis yakin soalan seperti 'Bila SPAD buat kerja' pasti tidak akan timbul lagi.

1-800-88-SPAD (7723)
Email : aduan@spad.gov.my
Twitter : @aduanSPAD
FB : @SPAD.my
Laman web : http://www.spad.gov.my/

1 comment:

  1. pernah hubungi spad pukul 11 mlm bgtau kaunter tiket jual tiket tp bas xde..ehemm..smpai skrg sihat je penjual dlm kaunter tiket tu

    ReplyDelete